Sila log masuk terlebih dahulu.

Ular sawa telan dua ekor kambing

Anggota APM memindahkan ular sawa seberat 220kg selepas menelan dua ekor kambing milik seorang penternak di Marang pada Jumaat.
Anggota APM memindahkan ular sawa seberat 220kg selepas menelan dua ekor kambing milik seorang penternak di Marang pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Seorang penternak berputih mata apabila dua ekor kambing kampung peliharaannya mati ditelan ular sawa seberat 180 kilogram (kg) dalam kejadian di Kampung Bukit Rhu Rendang, Bukit Kor di sini pada Jumaat.

Ngah Abd Ghani, 53, berkata, ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan selepas tujuh ekor kambing miliknya dibaham harimau kumbang pada awal Disember lalu.

Menurut Ngah, dia bersama menantunya, Syazwan Ramli, 28, terserempak dengan ular sawa itu di dalam kandang kambing sekitar jam 9.30 pagi sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kami ke kandang kambing untuk memberi makan. Tak sangka pula boleh terserempak dengan ular sawa kekenyangan yang berlingkar di dalam kandang.

"Mulanya, saya ingat ia hanya menelan seekor kambing, setelah diperiksa rupa-rupanya ia makan dua ekor kambing iaitu ibu dan anak kambing yang bernilai kira-kira RM3,000," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Ngah berkata, dia menganggarkan kerugian ditanggung akibat dua insiden itu mencecah RM17,000.

"Saya menternak kambing sejak Oktober 2020 dan telah mempunyai sebanyak 12 ekor kambing. Kini hanya tinggal tiga ekor kambing sahaja selepas dibaham harimau dan ditelan ular," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi APM Marang, Lt Muda (PA) Umi Shafiqa Abdul Manan berkata, pihak APM mengambil masa hampir setengah jam untuk memindahkan ular sawa itu ke dalam kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Berat ular sawa bertambah kepada 220kg selepas menelan dua ekor kambing. Jadi, kita terpaksa meminta bantuan daripada petugas dan pekerja ladang untuk mengangkat ular berkenaan.

"Ular itu telah dibawa ke APM Marang dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.