X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

2021 tahun mencabar bagi PDRM

Acryl Sani Abdullah Sani
A
A

SHAH ALAM - Tahun 2021 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran dan menguji kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, namun warga PDRM kekal tabah dan komited dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Tahun 2021 melabuhkan tirainya dengan membawa bersama episod duka seluruh penduduk dunia yang terkesan akibat penularan wabak maut Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

"Kehidupan Keluarga Malaysia dalam norma baharu benar-benar menguji kewibawaan PDRM yang diberikan mandat sebagai agensi penguat kuasa utama, untuk mendisiplinkan masyarakat," katanya menerusi perutusan sempena tahun baharu di sini pada Sabtu.

Menurutnya, belum pun mampu menghela nafas lega, negara diuji pula dengan bencana banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri.

"Kita sedar bahawa penularan wabak Covid-19 dan krisis bencana alam ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan," katanya.

Tambah Acryl Sani, beliau bangga dengan warga PDRM yang meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan, dan terus menabur khidmat kepada negara dalam apa jua keadaan, selari dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan petugas PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat," katanya.

"Mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2021, marilah kita sama-sama melangkah masuk ke tahun 2022 dengan semangat kental penuh iltizam," katanya.

Tambahnya, warga PDRM juga diharapkan dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti kepada masyarakat serta negara.

"Sama-samalah kita berdoa semoga tahun 2022 memberikan sinar kepada seluruh dunia agar kita dapat menjalani kehidupan normal seperti sediakala," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!