Jalan kaki 7 hari dari Kelantan ke Terengganu demi pesakit kanser

Mukhlis (dua dari kiri) membaca doa sebaik tiba di destinasi terakhir di Kuala Terengganu ketika menamatkan misi berjalan kaki sempena kempen #Walk4CancerKids pada Jumaat.
Mukhlis (dua dari kiri) membaca doa sebaik tiba di destinasi terakhir di Kuala Terengganu ketika menamatkan misi berjalan kaki sempena kempen #Walk4CancerKids pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup mengembara dengan berjalan kaki selama tujuh hari dari Kelantan ke Terengganu demi mengumpul dana menerusi kempen #Walk4CancerKids yang akan disalurkan kepada Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser Kuala Lumpur (KIDS).

Mukhlis Ilyas, 58, memulakan perjalanan sejauh 165 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan sejak 25 Disember lalu bersama sebuah troli yang ditolak sepanjang perjalanan.

Katanya, pengembaraan itu adalah pengalaman kedua yang dilakukan selepas rekod pertama berjalan dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke Kuantan, Pahang pada tahun 2020.

"Sebelum memulakan perjalanan, saya telah memantapkan stamina dengan melakukan latihan antaranya larian sejauh 10 km pada setiap hari dan menjaga pengambilan makanan.

"Saya pastikan telah membuat persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan jauh dan memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik sepanjang perjalanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di dataran jambatan angkat, di sini, jam 3 petang pada Jumaat.

Ketibaan Mukhlis disambut kumpulan pesakit kanser kanak-kanak bersama keluarga yang juga merupakan ahli KIDS.

Mukhlis berkata, setakat ini dia telah mengumpul lebih RM300 hasil derma orang ramai selain turut mendapat perhatian dan sokongan menerusi derma yang disalurkan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi cabaran melakukan pengembaraan ketika musim tengkujuh, Mukhlis berkata, dia bersyukur kerana sampai ke setiap destinasi mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak berdepan cuaca buruk.

"Walaupun melakukan perjalanan pada musim tengkujuh, saya bersyukur kerana keadaan cuaca yang redup serta sedikit hujan melancarkan perjalanan saya untuk tiba ke sesuatu lokasi," katanya.

Dalam pada itu, Mukhlis berkata, pengalaman mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser menyebabkan dia nekad untuk meneruskan kempen itu

Hamidah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mukhlis di dataran jambatan angkat, di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Hamidah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mukhlis di dataran jambatan angkat, di Kuala Terengganu pada Jumaat.

"Secara peribadi saya turut kehilangan tiga kakak akibat kanser dan mempunyai seorang abang yang masih berjuang melawan kanser.

"Jadi, apa yang saya lakukan ini diharap dapat memberi motivasi kepada orang lain serta menyuntik kesedaran umum terhadap kanser terutama dalam kalangan kanak-kanak, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi KIDS, Hamidah Tajudin berkata, KIDS yang ditubuhkan sejak tahun 2016 kini mempunyai hampir 1,000 ahli.

Katanya, antara objektif utama penubuhan kumpulan itu adalah untuk memberi sokongan terhadap ibu bapa dan anak-anak yang menghidap kanser terutama mereka yang terdiri dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

"Penubuhan KIDS merupakan inisiatif saya dengan sokongan para ibu bapa yang berkongsi nasib yang sama. Banyak kisah duka yang dialami mereka lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah.

"Ada antara mereka yang berdepan tekanan emosi kerana terpaksa menampung kos rawatan yang tinggi selain bebanan perbelanjaan harian setelah ada dalam kalangan ahli keluarga mereka menghidap kanser," katanya.

Hamidah turut mempunyai seorang anak yang telah meninggal dunia akibat kanser tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun anaknya sudah tiada, dia akan terus berjuang untuk membela nasib kanak-kanak lain.

"Kanser tidak mengenal usia. Pengalaman saya dengan pesakit kanser ini ada yang usia paling muda disahkan kanser seawal tiga hari selepas dilahirkan. Malangnya bayi itu tidak mampu diselamatkan dan meninggal dunia ketika berumur enam bulan.

"Banyak kisah duka yang dikongsikan oleh mereka. Syukurlah ramai juga yang mula peka dan prihatin terhadap nasib mereka dengan turut menyalurkan sumbangan bagi membela nasib mereka," katanya.