4,614 mangsa banjir berlindung di PPS

Sebahagian mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesedar Sungai Satan malam tadi. -Foto Bernama
Sebahagian mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kesedar Sungai Satan malam tadi. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 4,614 mangsa banjir berlindung di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara pada Jumaat.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga jam 12 tengah hari pada Jumaat, lima negeri terkesan dengan bencana itu.

"Sebanyak 11 daerah di Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masih terjejas akibat banjir," katanya.

Menurut Nadma, operasi banjir di seluruh negara melibatkan 42,265 anggota agensi responder menggunakan sejumlah 1,843 gabungan aset yang sedang beroperasi.

"Bagi edaran bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan 472,340 makanan yang dibungkus (packfood) sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir.

"Sejumlah 720 buah PPS telah ditutup di mana 111,752 mangsa daripada 30,720 ketua isi rumah (KIR) telah pulang ke rumah masing-masing manakala jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 118,085 daripada 32,469 KIR," katanya.

Dalam pada itu, Nadma berkata, laporan kejadian tanah runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut merekodkan pertambahan tujuh kejadian tanah runtuh menjadikan jumlah keseluruhannya, 133.

"Ia melibatkan 55 kejadian di Selangor, Pahang (42), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam) dan Terengganu (tiga) serta satu di Melaka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, setakat Khamis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan, SW Corp Malaysia telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan dengan 80.6 peratus daripada kawasan yang terjejas banjir di lima negeri telah dibersihkan membabitkan anggaran 7,284.45 tan sisa sampah telah dilupuskan.

Kerja-kerja pembersihan sisa sampah itu melibatkan 2,286 pekerja dengan 908 jentera.