390 mangsa banjir di Dungun dipindahkan

Sebahagian daripada mangsa banjir dipindahkan di PPS di Dungun setelah kediaman mereka dinaiki air.
Sebahagian daripada mangsa banjir dipindahkan di PPS di Dungun setelah kediaman mereka dinaiki air.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Dungun meningkat kepada 390 orang berbanding 69 pada Khamis.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 115 buah keluarga telah dipindahkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.

Katanya, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang diaktifkan sejak jam 4 petang pada Khamis kini menempatkan seramai 163 mangsa daripada 55 buah keluarga.

Sebuah lagi PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kg Shukor yang mula dibuka jam 6 petang pada Khamis kini menempatkan 225 orang daripada 60 keluarga.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan situasi semasa di Terengganu kini hujan di beberapa tempat.

Sementara itu, berdasarkan kemas kini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sehingga jam 8 pagi hanya tiga stesen sungai melebihi paras amaran iaitu stesen Sungai Kuala Jengai di Dungun (20.65 meter) dengan menunjukkan trend meningkat.

Dua lagi stesen iaitu stesen Kg Langkap di Setiu (20.31m) dengan trend menurun dan stesen Kg Keruak di Besut (34.69) dengan trend yang meningkat.

Artikel Berkaitan: