Dungun kembali dilanda banjir

Penduduk di Kampung Pasir Raja di hulu Dungun mula berpindah selepas kawasan itu dinaiki air pada Khamis.
Penduduk di Kampung Pasir Raja di hulu Dungun mula berpindah selepas kawasan itu dinaiki air pada Khamis.
A
A
A

DUNGUN - Hujan berterusan sejak petang Rabu menyebabkan seramai 69 mangsa mula dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kebanyakan penduduk mula dipindahkan sejak jam 10 pagi dengan dibantu beberapa agensi kerajaan termasuk polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Walaupun ada kediaman penduduk yang belum dinaiki air, kebanyakan mereka mengambil inisiatif dengan berpindah lebih awal memandangkan keadaan hujan masih lagi lebat dan berterusan," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini pada Khamis.

Menurut Baharudin, pihaknya menjangkakan jumlah penduduk yang akan berpindah akan bertambah petang Khamis.

"Jika keadaan hujan berterusan, kita jangka lebih ramai penduduk akan berpindah dan kita nasihatkan supaya penduduk di Kampung Shukor dan beberapa kampung lain untuk bersiap sedia berpindah.

"Setakat ini, di Kampung Pasir Raja kita berpuas hati dengan pematuhan arahan kerana penduduk berpindah lebih awal," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Markas Tektikal di Kampung Jongok Batu ditubuhkan dan akan beroperasi 24 jam bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk.

Sementara itu, menurut laporan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, dua sungai iaitu Sungai Besut di Kampung Keruak dan Sungai Dungun di Pasir Raja telah melepasi paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dua sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Besut di Kampung La dan Sungai Setiu di Kampung Besut.

"Secara umum, hujan lebat dan sangat lebat tertumpu di kawasan pedalaman daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut manakala hujan renyai direkodkan di kawasan pesisir pantai.

"Stesen Jabor merekodkan hujan melebihi (122 milimeter) dan Banho di Kemaman (240mm) sehingga petang ini. Kawasan lain yang menerima hujan lebat/sangat lebat ialah Kampung Keruak (103mm), Hulu Tersat (110mm) dan Pasir Raja (127mm)," jelas kenyataan tersebut.