10 hotspot banjir di Johor Bahru

Noorazam (dua kiri) ketika acara gimik pelancaran Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada Khamis.
Noorazam (dua kiri) ketika acara gimik pelancaran Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenal pasti 10 kawasan 'hotspot' yang mungkin dilanda banjir ekoran fenomena hujan berterusan di negeri ini bermula Jumaat hingga 3 Januari depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, antara kawasan tersebut ialah Kampung Md Amin dan Kampung Pasir serta beberapa buah kampung yang terletak berhampiran sungai di bandar raya ini.

Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada 54 kawasan setinggan yang terletak berdekatan sungai di Johor Bahru.

"Kebanyakan setinggan di bandar raya ini terletak di kawasan hotspot banjir. Diharapkan masyarakat di situ bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir akan berlaku.

"Mereka juga dinasihatkan agar tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana ia punca utama banjir berlaku di Johor Bahru. Sungai tidak boleh dianggap sebagai pintu belakang buang sampah," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Noorazami, MBJB telah melaksanakan pembinaan sistem tebatan banjir di kawasan hotspot banjir kilat termasuk kerja-kerja meninggikan tembok parit sedia ada.

"Kita juga turut membina ban banjir dan menaik taraf kapasiti pam sedia ada di Sungai Chat selain membina sistem pam baru di kawasan penempatan penduduk Kampung Md Amin dan Kampung Pasir.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, perangkap sampah turut dipasang di beberapa lokasi hotspot banjir disebabkan sampah domestik dan pokok tersangkut di pembetung utama," katanya.

Mengulas mengenai Skuad Kilat yang dilancarkan, Mohd Noorazami berkata, ia merangkumi lapan unit tindakan daripada pelbagai jabatan dalaman MBJB dengan penyertaan seramai 300 anggota.

"Skuad Kilat ini merupakan pasukan yang akan bertindak balas terhadap aduan awam bersifat kecemasan dan kejadian bencana alam di kawasan pentadbiran MBJB.

"Contohnya, banjir kilat, tanah runtuh, pencemaran alam sekitar dan lain-lain yang memerlukan tindakan pantas dan segera," katanya.