Caricarz berjaya kutip dana RM3 juta

James (tiga dari kanan) bersama kakitangan Caricarz yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.
James (tiga dari kanan) bersama kakitangan Caricarz yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka.
A
A
A

PENYEDIA perkhidmatan jualan automotif menerusi platform dalam talian (online), Caricarz.com (Caricarz) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mendapatkan dana sebanyak RM3 juta menerusi platform pendanaan Pitchin baru-baru ini.

Pengasas Caricarz, James Goh berkata, sebanyak 47 pelabur swasta terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana itu yang rata-ratanya merupakan pemain industri automotif dan pengedar kereta terpakai.

Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan projek baharu bagi memenuhi keperluan pembeli dan pengedar kereta.

“Kami menerima maklum balas yang cukup baik daripada orang ramai ketika mencari pembiayaan untuk pendanaan berkenaan. Banyak jalan penyelesaian yang boleh ditawarkan kepada pelanggan, pihak pengedar dan pembeli.

“Oleh itu, Caricarz tertarik untuk menghasilkan lebih banyak servis bagi menyediakan pengalaman yang cukup hebat untuk para pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut James, pembeli kereta seringkali keliru dengan pelbagai pilihan kereta dan kurang pasti dengan keadaan kereta serta servis pengedar ketika membeli kereta.

Sebaliknya, pengedar kereta pula berpendapat ia agak mencabar terutama dalam menarik pembeli yang berpotensi.

Mengulas lanjut James berkata, Caricarz telah melancarkan Search-Hero bagi membantu pembeli dalam membuat pemilihan kereta.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik lagi, pihak syarikat membantu dalam mengesahkan keadaan kenderaan sebelum mendaftarkannya secara dalam talian, malah syarikat juga bersedia untuk menyeragamkan servis dan waranti pengedar kereta.

Pada masa sama, syarikat juga akan menghubungkan pembeli berpotensi dengan pengedar kereta sekali gus tindakan ini dilihat memberikan akses ke pasaran yang lebih meluas.

“Pengedar mampu mendapatkan lebih banyak stok menerusi langganan di platform Caricarz.

“Kami bakal memperkenalkan Premier Selection dan akan bekerjasama dengan syarikat aplikasi mudah alih bagi memudahkan pembeli serta pengedar kereta untuk mengakses platform Caricarz nanti,” ujarnya

James berkata, pengenalan Premier Selection sebenarnya bertujuan untuk menyediakan urusan jual beli yang lebih telus selain membuktikan bahawa ia merupakan kereta terpakai yang boleh dipercayai di pasaran.

“Program ini juga didatangkan dengan waranti dan pihak pengedar memberi jaminan bahawa kenderaan yang dijual itu tidak mempunyai sebarang kesan kerosakan akibat banjir, kebakaran atau kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu dilihat dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan pembeli.

“Dengan adanya program seumpama ini, kedua-dua pihak akan yakin terutamanya ketika membeli dan menjual kereta menerusi platform Caricarz,” tambah James.

Berdasarkan rekod bulanan, Caricarz berjaya merekodkan kira-kira 300,000 pelawat manakala bagi halaman Facebook, Caricarz mampu meraih 621,000 penglibatan.

Sementara itu, bagi kandungan video Caricarz pula, ia berjaya menarik 289,000 tontonan dan telah mencatatkan 2,500 pembeli kereta di platform Caricarz.