Mekanik rugi RM170,000, didakwa terlibat jenayah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang mekanik kerugian lebih RM170,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat jenayah berkaitan pengubahan wang haram pada Isnin.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 62 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada pihak polis ketika berada di rumahnya di Kampung Paya, di sini.

Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa telah terlibat dalam pengubahan wang haram dan diminta supaya membuka satu akaun bank bagi tujuan siasatan.

"Mangsa menuruti arahan suspek dan memindahkan wang RM520,000 ke dalam akaun bank tersebut.

"Selepas itu, mangsa telah menghantar gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) pada bahagian depan dan belakang miliknya kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Wazir menjelaskan, mangsa kemudian telah mendedahkan dua maklumat akaun bank miliknya kepada suspek dan menyebabkan wang simpanan lebih RM170,000 lesap.

Susulan itu, Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, selepas menyemak semula akaunnya pada Rabu.

"Modus operandi yang digunakan suspek dengan menyamar sebagai pegawai polis serta meminta mangsa mendedahkan maklumat akaun bank miliknya bagi tujuan penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.