Azlan Al Amin menang saman fitnah

SHAH ALAM – Usahawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali berjaya dalam tuntutan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, terhadap seorang individu, Shahruldi Mahafiz Ramli berhubung dua hantaran di Facebook yang didapati memfitnahnya, lima tahun lalu.
Bagaimanapun jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Shahruldi yang juga bekerja sendiri, kepada Mohamad Azlan yang lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin, akan ditentukan kemudian melalui prosiding taksiran ganti rugi.
Hakim, Nor Hayati Mat memutuskan bahawa dua hantaran yang dipertikaikan dalam saman berkenaan mengandungi unsur fitnah terhadap Mohamad Azlan selaku plaintif.
Menerusi kenyataan media, mahkamah mendapati, antara maksud fitnah yang diterima ialah dakwaan bahawa plaintif merupakan seorang penipu selain terlibat dalam penipuan berkaitan urusan hartanah.
Mahkamah kemudian memerintahkan individu itu selaku defendan membayar kos RM30,000 kepada plaintif.
Sementara itu Mohamad Azlan ketika mengulas keputusan berkenaan, melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya.
"Selama ini saya menanggung kesan fitnah kononnya saya merupakan seorang penipu hartanah sehingga reputasi dan imej saya terjejas.
"Kemenangan ini sekurang-kurangnya dapat membersihkan kembali nama baik saya yang tercalar," katanya.
Dengan keputusan itu katanya, peringkat liabiliti dalam tindakan berkenaan telah selesai, manakala jumlah ganti rugi akan ditentukan Mahkamah pada peringkat taksiran kelak.
Dalam prosiding tersebut, Mohamad Azlan diwakili peguam, Fahmi Adilah daripada Tetuan Norman Fahmi & Associates, sementara defendan diwakili peguam, Nur Farah Aida Mahathir dan Amal Mat Isa daripada Tetuan Nur Maidin & Co.
Sebelum ini, Mohamad Azlan turut memenangi saman berasingan terhadap individu sama berkaitan pampasan tuntutan hartanah bernilai RM590,000 di Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

