Banjir: 1,151 tan sampah dikutip di Negeri Sembilan

SWCorp menerusi syarikat konsesi SWM Environment melakukan kerja pembersihan Pasca Banjir. Foto: FB swcorp ns
SWCorp menerusi syarikat konsesi SWM Environment melakukan kerja pembersihan Pasca Banjir. Foto: FB swcorp ns
A
A
A

SEREMBAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,151 tan sisa pepejal pasca banjir dalam tempoh sembilan hari misi membersih kawasan banjir bermula 20 Disember lepas.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, jumlah itu melibatkan empat lokasi terjejas di Seremban, Jelebu, Rembau dan Port Dickson dan dijangka mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk dibersihkan terutama di kawasan pedalaman di Jelebu.

"Bagi kawasan perkhidmatan SWM Environment Sdn Bhd iaitu syarikat konsesi SWCorp, kerja kutipan sisa banjir di daerah yang terjejas telah selesai dan tumpuan diberikan untuk pembersihan longkang yang dipenuhi lumpur dan tanah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain sampah-sarap terdapat beberapa barangan rosak yang perlu dilupuskan yang kebanyakannya ialah perabot, kelengkapan rumah, tilam, pakaian dan peralatan elektrik.

"Bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar, kita telah menggerakkan sebanyak 22 buah lori roro 16 tan, 16 lori roro 5 tan, 14 lori terbuka 5 tan, 14 water jet dan 17 jentera pengaut.

"Seramai 204 pekerja pembersihan SWM Environment Sdn Bhd terlibat dalam pasca banjir setakat ini," katanya.

Tambah beliau, kawasan yang menjadi tumpuan syarikat konsesi SWCorp di Jelebu ialah Pekan Kuala Klawang, Taman Bandar Tinggi, Kampung Baru Petaling, Kampung Baru Hosapa Titi, Pekan Titi, Rumah Rakyat Hosapa Titi, Taman Pekan Baru, Taman Mengkan, Kampung Baru Petaling, Kampung Chennah dan Taman Dato' Ombi.

"Port Dickson pula membabitkan kawasan di Taman Indah Jaya, Perindustrian Lukut Indah, Taman Sri Lukut Pekan Linggi, Taman Lukut Jaya dan Kampung Tanah Merah Site A, manakala di Seremban, Kampung Jiboi, Kampung Ismail dan Kampung Batu 4 1/2 serta Rembau di Pengkalan Kampung Sungai Timun dan Kuarters SAINS, Kampung Sawah Raja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, daerah Jelebu paling teruk terjejas terutama kawasan perkampungan dan kerja-kerja bantuan kutipan sisa banjir turut melibatkan pelbagai agensi di peringkat Kerajaan Negeri mahu pun Persekutuan.

"SWCorp selaku agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut sama menggerakkan jentera konsesi bersama sukarelawan dalam kalangan warga kerja SWCorp Negeri Sembilan bagi membantu kerja-kerja pembersihan," katanya.