Jumlah mangsa banjir di 4 negeri terus kurang, Melaka kekal

Penduduk mendayung sampan untuk keluar melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih digenangi air sejak seminggu lalu. - Foto Bernama
Penduduk mendayung sampan untuk keluar melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih digenangi air sejak seminggu lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala di Melaka kekal dengan jumlah sama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan, banjir di Bera pulih apabila PPS terakhir di daerah itu ditutup pada petang Rabu selepas semua 32 mangsa terakhir dibenarkan pulang, menjadikan hanya lima daerah masih terjejas iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 6,351 mangsa masih berada di 48 PPS pada petang Rabu, berkurangan daripada 7,319 orang pada tengah hari.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan pada malam Rabu, manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 5 petang Rabu, dengan 42 mangsa daripada lapan keluarga berbanding 54 orang daripada 15 keluarga tengah hari, di satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM mencatatkan 2,285 mangsa masih ditempatkan 13 PPS setakat 5.03 petang.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh dan tidak selamat didiami.

Artikel Berkaitan:

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan dua PPS di Jelebu turun kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat petang ini berbanding 36 individu daripada 12 keluarga tengah hari Rabu.

Di MELAKA, jumlah mangsa kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang Rabu yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng, Jasin, menurut aplikasi Info Bencana JKM. - Bernama