51 katil di Hospital Bentong dipindahkan akibat banjir

Dr Noor Hisham ketika membuat lawatan di Hospital Bentong, Pahang pada Rabu.
Dr Noor Hisham ketika membuat lawatan di Hospital Bentong, Pahang pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Pengurusan Hospital dan Unit Kejuruteraan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memulakan perancangan membaik pulih blok-blok hospital yang terjejas akibat banjir, dalam masa sama bersiap siaga sekiranya berlaku gelombang baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerja pembersihan masih giat dijalankan terutama di bahagian bawah blok baharu hospital berkenaan.

“Kawasan 'basement' (ruang bawah tanah) dan tingkat bawah yang menempatkan Jabatan Forensik telah terjejas. Sebanyak 51 katil di wad-wad di tingkat atas dan Jabatan Kecemasan blok baharu terpaksa dipindahkan buat sementara waktu ke blok lama.

“Bagaimanapun perkhidmatan di hospital ini kekal berjalan seperti biasa,” katanya menerusi Facebook beliau pada Rabu.

Dr Noor Hisham ketika membuat tinjauan di Hospital Bentong pada Rabu turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Pengarah hospital berkenaan, Dr Theeban Suntherasegarun dan kakitangannya yang tetap cekal bersemangat dalam menjalankan tugas.

“Diharapkan situasi kekal pulih dan dapat segera meneruskan semua perkhidmatan di Hospital Bentong seperti sebelum banjir,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut melawat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong yang dinaiki air sehingga merosakkan kebanyakan peralatan elektrik dan perabot.

Beliau berkata, meskipun berlaku banyak kerosakan, namun kebanyakan operasi utama PKD masih boleh dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Bilik-bilik gerakan untuk banjir, Covid-19 dan program vaksinasi kebangsaan terus berjalan seperti biasa.

“Syabas dan terima kasih diucapkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Cassidy dan juga kakitangan PKD Bentong yang ceria meskipun penat bergotong-royong membersihkan pejabat dan kawasan sekitar PKD Bentong,” tambah beliau.