Kerajaan peruntuk RM1.4 bilion Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

Ismail Sabri Yaakob melawat sekitar kawasan yang terjejas banjir pada program gotong-royong Keluarga Malaysia di Taman Nanding pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob melawat sekitar kawasan yang terjejas banjir pada program gotong-royong Keluarga Malaysia di Taman Nanding pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah inisiatif tersebut, kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan turut menyalurkan bantuan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Selain itu, bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, malah mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir juga boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan negeri sudah membuat bayaran BWI bermula Isnin lalu dan dijangka selesai dalam minggu ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, Selangor dan Pahang mungkin berlaku sedikit kelewatan berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

“Setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI. Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.

Artikel Berkaitan:

“Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 25 orang waris telah menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta tambahan, antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, Ismail Sabri berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar sifar peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

“Selain itu, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun,” kata beliau.