Penduduk panik rumah bergegar

Kesan kemusnahan letupan bom di Pos Tentera Thailand
Kesan kemusnahan letupan bom di Pos Tentera Thailand
A
A
A

TUMPAT - Dentuman bom yang kuat di Pos Tentera Thailand di Kampung Sri Pagan, Naratiwat menimbulkan rasa panik apabila gegaran turut dirasai di Kampung Simpangan di sini, malam semalam.

Detuman bom dan gegaran itu berlaku kira-kira jam 11.45 malam di seberang sungai Golok jaraknya 30 meter dari tebing Malaysia.

Rasa takut menyelubungi penduduk apabila gegaran kuat itu menyebabkan siling, tingkap dan bumbung rumah penduduk hampir 10 buah pecah.

Malah kebakaran kesan letupan bom di Pos Tentera Thailand di Kampung Sri Pagan, Naratiwat atau dikenali Nat Chenderung dapat dilihat dari tebing Malaysia ini.

Penduduk, Abdul manaf Omar, 74, berkata, dua kali letupan bom itu menyebabkan cermin tingkatnya pecah kerana ia bergegar kuat.

Katanya, ketika kejadian dia baru masuk tidur tetapi dikejutkan bunyi tembakan bertalu-talu dan bom pertama dan selang beberapa minit bunyi letupan bom kedua yang amat kuat.

"Dalam keadaan takut pak cik intai di luar dan nampak lampu isyarat motosikal di pos askar Thailand berkelip-kelip, lepas itu motosikal itu meletup.

"Pakcik panggil menantu supaya berlindung kerana dia sedang memancing di belakang rumah, selama 20 minit juga kedengaran berbalas tembakan dan bom itu.

Artikel Berkaitan:

"Mujurlah menantu tak apa-apa, dia cuma trauma kerana kejadian itu berlaku depan mata," katanya.

Lokasi letupan bom di Pos Tentera Thailand hanya dipisahkan dengan Sungai Golok sejauh 30 meter.
Lokasi letupan bom di Pos Tentera Thailand hanya dipisahkan dengan Sungai Golok sejauh 30 meter.

Manakala peniaga kedai kopi, norzial Mat Ail, 40, berkata, sebanyak 10 keping siling kedainya pecah akibat gegaran kuat letupan bom itu.

Katanya, walaupun ramai penduduk kampung keluar rumah melihat kemusnahan pos yang dibom, tetapi dia tidak berani keluar.

"Dahsyat sungguh gegarannya, semua bingkai gambar yang digantung di dinding jatuh, rumah rasa bergegar.

"Mujurlah tiada yang cedera walau pun ada penduduk mendakwa serpihan kereta dan motosikal yang dibom ada terpelanting ke sebelah tebing Malaysia," katanya.

Abdul Manaf menunjukkan cermin tingkap rumahnya pecah.
Abdul Manaf menunjukkan cermin tingkap rumahnya pecah.