Mangsa banjir panjat menara tangki air

Keadaan kawasan rumah pekerja ladang di Felda Bukit Sagu 7 di sini yang masih dilitupi lumpur tebal.
Keadaan kawasan rumah pekerja ladang di Felda Bukit Sagu 7 di sini yang masih dilitupi lumpur tebal.
A
A
A

KUANTAN - Pengalaman terpaksa berlindung dan bermalam di atas menara tangki air selepas kediaman mereka dinaiki air tidak mungkin dilupakan pekerja ladang sawit FGV di Felda Bukit Sagu 7 di sini.

Detik cemas yang berlaku pada malam Ahad, 19 Disember lalu itu turut dilalui tiga bayi selepas ibu bapa mereka tiada pilihan dan terpaksa berlindung di menara tangki air akibat kediaman ditenggelami air.

Mangsa membabitkan lebih 20 keluarga itu hanya berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dua hari kemudian.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas di sini turut membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah pekerja ladang di Felda Bukit Sagu 7 pada Rabu.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas di sini turut membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah pekerja ladang di Felda Bukit Sagu 7 pada Rabu.

Selain keluarga dalam kalangan pekerja tempatan, lebih 120 pekerja warga asing di ladang itu turut berdepan situasi sama selepas asrama mereka ditenggelami banjir.

Penolong Pengurus Ladang FGV Felda Bukit Sagu 7, Mohd Sofiyan Mohamad, 36, bersyukur kerana semua pekerja berjaya diselamatkan.

Mencerita kembali detik-detik cemas dilalui pekerjanya, Mohd Sofiyan berkata, air dari anak sungai berhampiran melimpah sejak Sabtu,18 Disember lalu dan mula naik ke kawasan kuarters pekerja pada hari berikutnya.

Mohd Sofiyan Mohamad
Mohd Sofiyan Mohamad

Artikel Berkaitan:

"Kebetulan pada petang Ahad itu saya keluar ke bandar Kuantan untuk membeli barang dan setelah kembali, laluan masuk ke penempatan itu sudah tidak dapat dilalui.

"Saya dimaklumkan oleh pekerja air mula menenggelamkan beberapa rumah kakitangan jam 9 malam hingga memaksa mereka bersama keluarga menyelamatkan diri dan berlindung di atas menara tangki air berhampiran.

"Mereka terpaksa bermalam di situ hingga pagi keesokannya sebelum mangsa wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke sebuah rumah yang tidak dinaiki air," katanya ketika ditemui di lokasi selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan pasukan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Galing, bomba dan Pemuda Pas Pahang pada Rabu.

Mohd Sofiyan berkata, pekerja warga asing terpaksa berlindung di atas bumbung pada malam awal kejadian sebelum dipindahkan ke asrama pekerja di ladang lain hari berikutnya.

"Ketika itu saya berada di luar tempat kejadian dan sempat menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Bagaimanapun kedudukan kuarters pekerja ladang ini terpencil di tengah kawasan ladang, usaha memindahkan mangsa terkandas hanya berjaya dilakukan dua hari kemudian," katanya.

Menurutnya, terdapat lebih 20 keluarga pekerja tempatan berada di kuarters itu namun 13 keluarga paling terjejas.

"Alhamdulillah, nasib pekerja di sini mendapat perhatian banyak pihak termasuk majikan yang menyalurkan bantuan serta kerja-kerja pembersihan.

Hari ini kita menerima bantuan untuk kerja pembersihan dari pegawai dan anggota Briged Tenggara PGA Kem Galing, bomba dan Pemuda Pas Pahang.

Anggota Briged Tenggara PGA Kem Galing ketika meliksanakan kerja pembersihan rumah pekerja yang terjejas banjir dalam operasi pembersihan yang dilaksanakan pasukan itu pada Rabu.
Anggota Briged Tenggara PGA Kem Galing ketika meliksanakan kerja pembersihan rumah pekerja yang terjejas banjir dalam operasi pembersihan yang dilaksanakan pasukan itu pada Rabu.

"Melihat keadaan lumpur dan barangan yang rosak, kerja-kerja pembersihan ini dijangka mengambil masa lebih lama," katanya.

Sementara itu, Timbalan Komander Briged Tenggara PGA Kem Galing, Asisten Komisioner Sanudin Mat Isa berkata, pihaknya menggerakkan 80 tenaga terdiri pegawai, anggota dan pegawai awamnya bagi membantu membersihkan rumah pekerja itu pada Rabu.

Menurutnya, jangkaan awal kerja-kerja pembersihan itu dapat disiapkan dalam tempoh sehari namun terpaksa mengambil masa dua hari lagi kerana keadaan dalam dan kawasan rumah berlumpur tebal.

"Kami hanya mampu menggerakkan tenaga dengan peralatan terhad. Jadi tumpuan proses pembersihan lebih kepada dalam dan kawasan sekitar rumah pekerja sahaja.

"Apa yang mampu kita buat hari ini ialah mengeluarkan barang yang rosak dan membersihkan rumah dibantu pihak bomba, kakitangan FGV dan Pemuda Pas Pahang.

"Bagi membersihkan keseluruhan kawasan memang memerlukan jentera berat untuk menolak sisa lumpur yang mula keras," katanya.

Aireroshairi (kiri) dan Sanudin (dua kiri) bersama anggota Briged Tenggara PGA Kem Galing yang terlibat dalam operasi pembersihan rumah pekerja di ladang Bukit Sagu 7 di sini pada Rabu.
Aireroshairi (kiri) dan Sanudin (dua kiri) bersama anggota Briged Tenggara PGA Kem Galing yang terlibat dalam operasi pembersihan rumah pekerja di ladang Bukit Sagu 7 di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, kerja-kerja pembersihan rumah pekerja ladang itu antara lokasi terakhir pihaknya dalam misi bantuan tenaga membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Kita mulakan misi bantuan bermula di Lipis, Kuantan dan Temerloh bersama tenaga sokongan tenaga dari Pemuda Pas Kelantan dan Terengganu," katanya.