Banjir: JKNP tubuh 42 pasukan kesihatan mental

Penduduk setempat Adam Faiz Izham Musa ,14, kembali ke rumahnya setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan. - Foto Bernama
Penduduk setempat Adam Faiz Izham Musa ,14, kembali ke rumahnya setelah keadaan banjir semakin pulih ketika tinjauan di Kampung Terusan. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menubuhkan 42 pasukan kesihatan mental dan sokongan psikologi bagi menangani masalah gangguan emosi dalam kalangan mangsa banjir di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pasukan yang melibatkan doktor, kaunselor dan jururawat itu digerakkan ke setiap pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menemui mangsa banjir dan membuat intervensi jika perlu.

Menurutnya, sehingga kini, pasukan itu telah melawat 238 daripada 320 PPS dan menemui seramai 12,488 mangsa banjir.

"Sebanyak 21,549 intervensi telah dilakukan melibatkan tiga aktiviti utama iaitu relaksasi, ekpresi seni dan psikopendidikan.

"Setakat ini, tiada mangsa banjir yang mengalami gangguan emosi yang serius," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Nor Azimi berkata, setiap kali bencana berlaku fokus bukan hanya kepada kerosakan fizikal sahaja, sebaliknya gangguan emosi akibat bencana juga perlu diberi penekanan sama rata.

"Ada kemungkinan dalam kalangan mangsa banjir mengalami gangguan emosi apabila melihat kerosakan rumah yang sangat teruk apalagi sekiranya mereka kehilangan orang tersayang akibat banjir," katanya.

Katanya, bantuan asas psikologi sangat penting untuk membantu mangsa berhadapan dengan krisis kehidupan akibat bencana itu.

Artikel Berkaitan: