Buku 'Healing The Invisible Wound': Solusi kesihatan mental dari perspektif Islam

Buku Healing The Invisible Wound adalah projek 360 daripada program Soul Fitness Clinic yang bersiaran di platform digital Soul Fitness pada 2022.
Buku Healing The Invisible Wound adalah projek 360 daripada program Soul Fitness Clinic yang bersiaran di platform digital Soul Fitness pada 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui program Soul Fitness Clinic bakal melancarkan buku 'Healing The Invisible Wound', terbitan Karya Bestari sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di reruai Kumpulan Karangkraf, Dewan Tun Hussein Onn, Tingkat 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada pukul 2 petang pada 27 Mei 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Soul Fitness memfokuskan al-Quran dan Hadis sebagai panduan dan terapi untuk kesihatan mental.

Buku tersebut merupakan projek 360 darjah daripada program Soul Fitness Clinic yang membawa, menghidangkan dan membumikan konten al-Quran dan Hadis dalam mengurus cabaran kesihatan mental.

“Isu-isu yang diketengahkan dalam buku tersebut sangat dekat di hati kita. Ia bersesuaian dengan situasi masyarakat hari ini yang ramai tertekan dan terluka dalam diam akibat cabaran akhir zaman.

“Saya berharap buku Healing The Invisible Wound dapat dimanfaatkan oleh pusat kaunseling, kumpulan sokongan dalam keluarga, sekolah, universiti dan organisasi sebagai bahan rujukan.

Adunan pengisian buku itu adalah istimewa dari segi kajian al-Quran dan Hadis dan kepakaran psikologi, serta praktikal dalam mengurus masalah kesihatan mental," katanya.

Menariknya buku tersebut merupakan hasil gabungan penulisan dan kepakaran daripada Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias dan Pakar Psikologi, Dr Rozanizam Zakaria dan Dr Ahmad Rostam Md Zin.

Mereka merupakan tetamu jemputan bagi program Soul Fitness Clinic sebanyak 12 episod yang bersiaran di platform digital Soul Fitness bermula September hingga Disember 2022.

Penyusunan buku tersebut dibantu oleh penyelidik WUIF yang juga Pengurus projek Soul Fitness, Siti Hajar Hidayati Hamid dan Lutfil Hadi Rosmarnizam.

Antara projek Soul Fitness adalah program Talian Jiwa: Kami Dengar Kami Bantu sebanyak tujuh episod yang bersiaran di Astro Oasis pada 2021. Ia bertujuan menyantuni golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan memberi bantuan dana.

Selain itu, Soul Fitness Jar dalam bentuk balang yang mengandungi 100 ayat al-Quran pilihan dihasilkan sebagai sebagai terapi pilihan, dan CEO Talk: Humanising Workplace (Surah Al-Insan) pada 10 Mac 2023.

Sementara itu, Dr Alizi berkata, beliau bersama dua penulis memfokuskan tajuk untuk menulis mengikut kepakaran masing-masing dan ini memudahkan gerak kerja mereka dalam menyiapkan buku tersebut.

“Saya menulis apa yang sampaikan secara lisan dalam program rakaman Soul Fitness Clinic. Kerjasama yang amat baik dan pantas, ditambah dengan bantuan pihak WUIF untuk menjadikan penulisan lebih lancar dalam menghasilkan buku tersebut.

“Buku Healing The Invisible Wound mempromosikan pendekatan al-Quran dalam memulihkan dan meningkatkan kualiti kesihatan mental dengan berintegrasi ilmu moden psikologi dan psikiatri. Panduan daripada buku tersebut sesuai untuk semua golongan masyarakat termasuk mereka yang bukan Islam.

Penulis bersama, Dr Rozanizam antara pencadang untuk menghasilkan buku susulan program Soul Fitness Clinic yang mendapat maklum balas baik daripada penonton. Mereka tertarik dengan tajuk-tajuk berkaitan psikologi dari sudut pandang Islam dan saintifik.

“Saya memfokuskan tajuk Resilience (kemampuan bangkit semula) dan solat dalam mengendalikan masalah kemurungan. Saya menggunakan contoh daripada sirah Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana Baginda SAW bertindak balas dengan ujian hidup.

“Antara perkara besar yang Nabi Muhammad SAW mempunyai kemampuan bangkit semula adalah perikatan spiritual dengan Tuhan Maha Pencipta melalui ibadah solat. Orang yang mempunyai kekuatan spiritual mampu melihat masalah daripada perspektif lebih baik.”

Manakala, Dr Ahmad Rostam mengetengahkan konsep reda dan penerimaan dalam semua masalah. Namun reda dengan sekadar sabar itu tidak memadai. Sebaliknya reda membawa komitmen pada masa hadapan untuk kita mengambil tindakan betul dan menjadi lebih baik

“Apabila kita menghadapi masalah secara berseorangan dan keseorangan, pasti sukar untuk mencari jalan keluar. Oleh itu kita memerlukan sokongan orang lain yang boleh memahami dan tingkatkan hubungan kita dengan ALLAH SWT,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai majlis pelancaran buku Healing The Invisible Wound di PWTC ada hari esok (27 Mei 2023) dan dapatkan buku tersebut dengan harga RM20 senaskhah.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku tersebut, sila layari Facebook Soul Fitness. Untuk pembeliau buku tersebut secara atas talian, sila layari www.karangkrafmall.com.