BAM congak haluan baharu

Kenny (tengah) bersama Choong Hann (kanan) dan Rexy pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan BAM di ABM, Bukit pada Selasa.
Kenny (tengah) bersama Choong Hann (kanan) dan Rexy pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan BAM di ABM, Bukit pada Selasa.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan bagi memastikan skuad negara kembali berada di landasan kejayaan tatkala saingan Piala Thomas menjadi fokus utama.

Dengan meletakkan sasaran mara ke final Piala Thomas, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, satu analisa secara terperinci mengenai prestasi pemain dalam sembilan kejohanan sejak tiga bulan lalu menjurus kepada perubahan berkenaan.

Penstrukturan semula itu menyaksikan Rexy Mainaky yang sebelum ini dilantik Penolong Pengarah Kejurulatihan BAM dinaikkan pangkat dan akan menjawat jawatan pengarah kejurulatihan beregu.

Wong Choong Hann pula yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan BAM akan menggalas tugas sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan.

“Kami membuat penilaian kendiri mengenai kekuatan dan kelemahan. Jika dulu kita mempunyai banyak peringkat daripada ketua jurulatih dan perlu lapor kepada pengarah kejurulatihan.

“Struktur baharu itu kini dikecilkan kepada dua bahagian. Perseorangan dikendalikan Choong Hann dan beregu oleh Rexy. Saya percaya perubahan ini mampu membawa kita mencapai lebih banyak kejayaan pada 2022 yang mana semua tahu ia tahun yang padat.

“Biarpun tak dapat menjamin pencapaian tapi perubahan itu perlu dan saya yakin kita mampu lakukan yang lebih baik tahun depan berbanding 2021," katanya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara pada Selasa.

Pada masa sama, Kenny berkata, penstrukturan itu juga diharap dapat menangani kelemahan yang ada pada skuad negara ketika ini dalam usaha merealisasikan misi ke final Piala Thomas.

Artikel Berkaitan:

“Tahun 2022 adalah tahun yang mencabar buat kita di mana kita ada beberapa kejohanan besar. Selain Piala Thomas, Sukan SEA Hanoi 2021, Birmingham 2022 (Sukan Komanwel), Hangzhou 2022 (Sukan Asia) dan juga projek kita untuk skuad Paris 2024 (Sukan Olimpik).

“Tapi kita berharap untuk lakukan yang terbaik pada Piala Thomas dan kejohanan lain juga dalam usaha mencatatkan kejayaan,” ujarnya yang menjangkakan barisan pemain negara bakal menempuh jadual padat tahun depan.

Dalam pada itu, Rexy berharap dia mampu melaksanakan tanggungjawabnya selaku pengarah teknikal beregu dengan baik dan membantu memperbaiki pencapaian skuad negara.

“Bagi saya, tugas baharu ini tidak semudah yang disangka. Namun, saya, Choong Hann dan Kenny akan terus bekerjasama dan saling membantu bagi menghasilkan kejayaan buat badminton Malaysia,” jelasnya.