Bekalan elektrik di 831 kawasan banjir pulih

TNB - Gambar fail Bernama
TNB - Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan elektrik di 831 kawasan yang terjejas banjir di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah pada Selasa.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ia meliputi 510 kawasan di Pahang, 178 kawasan di Selangor, 118 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

"Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan," menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu 14 kawasan di Selangor, 10 di Pahang dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan agar meletakkan peralatan elektrik di tempat yang lebih tinggi dan selamat agar tidak ditenggelami banjir sebagai langkah berjaga-jaga. - Bernama

Artikel Berkaitan: