Ke arah miskin tegar sifar 2025

Datuk Seri Mustapa Mohamed melawat keluarga Norsaeidah Gustamin di Kampung Pasir Puteh, Putatan, Sabah pada 30 Oktober lalu.
Datuk Seri Mustapa Mohamed melawat keluarga Norsaeidah Gustamin di Kampung Pasir Puteh, Putatan, Sabah pada 30 Oktober lalu.
A
A
A

Pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi negara hingga wujudnya golongan miskin baharu secara mendadak. Kadar kemiskinan mutlak nasional juga meningkat kepada 8.4 peratus (%) pada tahun 2020.

Pandemik terus menjejaskan isi rumah miskin kerana mereka yang terlibat dalam bidang berkemahiran rendah dan sektor tidak formal mudah terdedah kepada kehilangan pekerjaan.

Secara umumnya, Malaysia telah mencapai kejayaan besar dalam usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf kehidupan rakyat.

Ini dapat dilihat daripada penurunan kadar kemiskinan mutlak di peringkat nasional iaitu 49.3 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada tahun 1970 kepada 5.6% pada tahun 2019.

Namun, masih wujud kelompok kemiskinan di lokaliti bandar dan luar bandar. Kadar kemiskinan tegar pula telah berjaya diturunkan hampir sifar iaitu 0.4% pada tahun 2019.

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,169 sebulan berdasarkan kos pembelian makanan bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.

Miskin mutlak merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,208 sebulan berdasarkan kos pembelian makanan dan barangan asas bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga.

Kemelut kemiskinan paling besar adalah dalam kalangan Bumiputera apabila mencapai kadar kemiskinan mutlak 7.2% berbanding etnik Cina 1.4% dan India sebanyak 4.8%. Kadar kemiskinan masyarakat orang asli berada pada 33.6 %, Bumiputera di Sabah sebanyak 22.7% manakala di Sarawak pula adalah 11.2%.

Artikel Berkaitan:

Usaha menangani kemiskinan dan pembangunan inklusif kekal menjadi tonggak penting dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Sejak Rancangan Malaysia Kedua (RMKe-2), mengurangkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, etnik, status ekonomi dan lokasi menjadi salah satu keutamaan dalam perancangan pembangunan negara selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta dasar-dasar semasa kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meneruskan usaha ini dengan mengambil langkah proaktif untuk memastikan masalah kemiskinan tegar dapat dihapuskan pada 2025.

Pendekatan secara holistik membabitkan kerajaan dan pelbagai pihak diwujudkan untuk berkongsi idea dan pandangan dalam mencari jalan terbaik menghapuskan kemiskinan tegar.

Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif dan program bagi menangani kemiskinan, antaranya:

Program Peningkatan Pendapatan di bawah Skim Kesejahteraan Rakyat di Luar Bandar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya meningkatkan pendapatan 40 peratus peserta dalam program itu sebanyak 30 peratus.

Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan yang merangkumi program pembangunan minda insan, perniagaan dan keusahawanan serta latihan dan kemahiran telah memanfaatkan 5,600 peserta.

Tubuh Unit Kemiskinan

Dalam RMKe-12 (2021- 2025), pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik telah dirangka di bawah Pemacu Perubahan VI: Mentransformasi Pendekatan bagi Membasmi Kemiskinan Tegar. Kerajaan beriltizam agar miskin tegar dihapuskan pada tahun 2025.

Untuk memastikan pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan yang khusus dicadangkan untuk ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

Unit kemiskinan ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 8 November 2021. Beberapa buah negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah.

Usaha pembasmian kemiskinan tegar ini akan diterajui bersama oleh EPU dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM. Ia akan dilaksana secara berfasa melalui pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa Pertama yang akan bermula pada Mac 2022.

No Image Caption

Pelaksanaan program ini akan menggunakan Pendekatan Keseluruhan Negara (Whole of Nation Approach) berdasarkan pendekatan dari bawah ke atas dan penyelesaian kemiskinan secara bersasar berasaskan keperluan pada peringkat akar umbi.

Ia dipantau secara berkala bagi memastikan intervensi yang lebih berkesan serta menetapkan dasar pemisah (exit policy) selepas tempoh dua tahun.

Program ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan, swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO).

Sebanyak 50 lokaliti terpilih di seluruh negara sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan program fasa 1. Ia dipilih berdasarkan kepada lokaliti dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi merentasi kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira agama, bangsa dan jantina.

Selain daripada 50 lokaliti yang terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.

ISU DAN CABARAN

Beberapa kelompok tertentu masih dibelenggu kemiskinan. Antara faktor yang menyumbang kepada kemiskinan adalah seperti berikut:

• Tahap pendidikan yang rendah.

• Kekurangan akses kepada kemudahan infrastruktur asas.

• Kebergantungan kepada satu sumber pendapatan.

• Akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan perumahan mampu milik yang terhad;

• Kos sara hidup yang tinggi.

• Kekurangan keupayaan untuk memanfaatkan peluang ekonomi.

• Mekanisme penyampaian bagi membasmi kemiskinan masih lemah dan tiada penyelarasan.

• Petunjuk untuk mengukur tahap kemiskinan pelbagai dimensi masih kurang komprehensif.

MISKIN TEGAR - Merujuk kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM1,169 sebulan, berdasarkan kos pembelian makanan bagi isi rumah dengan 4 ahli keluarga

JADUAL PELAKSANAAN PROGRAMPEMBASMIAN KEMISKINAN TEGAR FASA 1

1. Pemilihan Lokaliti

Sebanyak 50 lokaliti di seluruh negara akan dikenal pasti oleh ICU.

Tarikh: Disember 2021

2. Verifi kasi Kumpulan Sasar

Senarai lokaliti akan diverifi kasi dengan kerjasama kerajaan negeri.

Tarikh: 2021

3. Pemilihan Strategi dan Pemetaan Program

Program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing.

Tarikh: Januari 2022

4. Pembentangan Jemaah Menteri

Pembentangan strategi dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa 1 kepada Jemaah Menteri.

Tarikh: Februari 2022

5. Pelaksanaan Program Fasa 1

Pelaksanaan program fasa 1 bermula.

Tarikh: Mac 2022