Al-Quran untuk semua, Karangkraf sasar pembaca seluruh dunia

Muhammad Nasir (tiga dari kiri) menyerahkan naskah al-Quran kepada Mohd Zaini Abu Hassan (empat dari kiri) di IPK Selangor pada Jumaat.
Muhammad Nasir (tiga dari kiri) menyerahkan naskah al-Quran kepada Mohd Zaini Abu Hassan (empat dari kiri) di IPK Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Karangkraf sudah mencetak kira-kira 10 juta naskhah al-Quran sejak 10 tahun lalu dengan menyasarkan setiap rumah umat Islam di negara ini memiliki kitab suci itu.

Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, usaha itu tidak terhenti di dalam negara, sebaliknya bakal diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi penerbitan al-Quran dalam pelbagai bahasa.

Menurutnya, gerakan dinamakan sebagai 'Al-Quran untuk Malaysia dan Dunia' itu bertujuan memastikan lebih ramai masyarakat berpeluang membaca, memahami dan menghayati kandungan al-Quran.

"Selepas Malaysia, kita mahu bawa usaha ini ke seluruh dunia dan pada masa sekarang al-Quran dalam bahasa Inggeris sudah dihantar ke Eropah, United Kingdom, Afrika dan Jepun.

"Saya rasa gerakan kita ini sebenarnya baru bermula walaupun sudah 10 tahun dalam bidang penerbitan al-Quran," katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan al-Quran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Muhammad Nasir (tengah) menyerahkan kitab al-Quran kepada wakil IPD sambil disaksikan Hairulzaman (dua dari kanan) di IPK Selangor pada Jumaat.
Muhammad Nasir (tengah) menyerahkan kitab al-Quran kepada wakil IPD sambil disaksikan Hairulzaman (dua dari kanan) di IPK Selangor pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Nasir berkata, Karangkraf turut memberi perhatian kepada penerbitan al-Quran dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan masyarakat bukan berbahasa Melayu mendekati dan memahami kitab suci itu.

Katanya, antara bahasa yang sedang diusahakan termasuk Thai, Maori dan Turki selain penerbitan dalam bahasa Urdu dan Perancis.

Beliau berkata, Karangkraf juga menghasilkan pelbagai variasi al-Quran yang disesuaikan mengikut keperluan pembaca termasuk kanak-kanak, wanita serta golongan yang mempunyai minat dalam bidang tertentu seperti perubatan dan sains.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memudahkan masyarakat mendekati al-Quran menerusi kaedah penyampaian dan terjemahan yang lebih bersesuaian dengan latar belakang masing-masing.

"Kita mahu semua golongan dapat membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran, bukan sekadar membaca untuk khatam sahaja," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Selangor, Asisten Komisioner Mohd Hairulzaman Ishak berkata, sumbangan naskhah al-Quran daripada Karangkraf bakal diagihkan ke 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor bagi membolehkan lebih ramai warga PDRM mendekati dan menghayati kitab suci itu.

Beliau berkata, sumbangan itu turut memberi manfaat kepada lebih 300 anggota dan warga polis berstatus saudara baharu di negeri ini.

Menurutnya, kepelbagaian variasi al-Quran yang disumbangkan termasuk mengikut pecahan juzuk, jilid serta surah memudahkan mereka mempelajari dan memahami kitab suci itu.

"Di Selangor, kita mempunyai lebih 300 saudara baharu dan dengan adanya sumbangan al-Quran dalam pelbagai variasi ini, ia dapat membantu mereka mendekati serta menjiwai al-Quran," katanya.

Ditanya usaha membudayakan penghayatan al-Quran dalam kalangan warga polis, Mohd Hairulzaman berkata, PDRM mempunyai Bahagian Agama di peringkat kontinjen dan daerah yang diterajui pegawai agama bagi melaksanakan pelbagai program kerohanian.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk kelas pembelajaran al-Quran secara berkumpulan dan individu khususnya kepada anggota yang belum mahir membaca kitab suci itu.

"Jika kita kesan ada anggota yang masih belum mahir membaca al-Quran, kita akan bantu mereka bermula daripada peringkat asas sehingga boleh membaca dengan baik.

"Kita juga mengadakan pelbagai pengisian agama untuk semua warga termasuk program solat duha dan bacaan al-Quran dengan harapan usaha ini dapat membentuk peribadi serta meningkatkan penghayatan agama dalam kalangan anggota," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!