Selangor peruntuk RM369.5 juta baiki infrastruktur terjejas banjir

Amirudin ketika sidang media khas di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini pada Isnin.
Amirudin ketika sidang media khas di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur meliputi jalan raya, bangunan dan kemudahan awam yang terjejas akibat banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM142.4 juta diperlukan untuk projek pembaikan kategori darurat (secepat mungkin), manakala kerja-kerja kategori segera berjumlah RM177.9 juta dan kategori biasa berjumlah RM49.2 juta.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan tersebut melibatkan agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

"Pembaikan di jalan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM63 juta, manakala jalan persekutuan memperuntukkan RM39 juta. Sebahagian peruntukan oleh Air Selangor sebanyak RM5.4 juta telah dilaksanakan membabitkan loji-loji rawatan air (LRA) yang terhenti akibat banjir dan limpahan.

"Semua kos tersebut sebahagiannya dibiayai oleh kerajaan negeri, manakala sebahagian lagi akan dimohon daripada kerajaan Persekutuan agar kerja-kerja pembaikan dapat mula dengan segera terutama pembaikan kategori darurat," katanya dalam sidang media khas di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, punca banjir yang melanda Taman Sri Nanding, Hulu Langat berpunca daripada kepala air dari kawasan pergunungan di sekitar lokasi terbabit.

Katanya, fenomena yang berlaku di Sungai Lui, Hulu Langat itu terjadi akibat taburan hujan tinggi pada minggu lalu.

"Taburan hujan luar biasa pada minggu lalu menyebabkan berlakunya kepala air di Sungai Lui, Hulu Langat. Bagaimanapun, pihak bertanggungjawab sedang melakukan siasatan berhubung perkara itu," katanya.

Artikel Berkaitan: