Awas sindiket ah long dekati mangsa banjir tawar pinjaman

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima maklumat terdapat beberapa individu dipercayai sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long mendekati mangsa-mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, fasa pemulihan pasca banjir tidak dinafikan merupakan satu keadaan yang memerlukan sokongan khususnya dari segi kewangan.

"Berdasarkan maklumat diterima, terdapat beberapa individu dipercayai sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long telah mula mendekati mangsa banjir bagi menawarkan pinjaman.

"Sehingga kini tiada sebarang laporan polis yang diterima berkenaan perkara ini, namun kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini mula menyasarkan mangsa banjir," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Kamarudin sehubungan itu berkata, pihaknya menasihatkan semua mangsa banjir supaya sentiasa berwaspada agar tidak terperangkap dengan ah long.

"Kita sentiasa memantau dan membanteras kegiatan ah long melalui siasatan dan operasi berterusan.

"Siasatan dilakukan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan sekiranya terdapat laporan berkait dengan kegiatan jenayah itu," ujarnya.

Beliau turut meminta orang ramai membantu polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat boleh disalurkan melalui 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101559/ 03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp CCID infoline di talian 013-2111222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.