Cacamarba politik 2021, Perdana Menteri bertukar lagi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di tengah perkembangan cacamarba politik negara tahun ini, peristiwa yang boleh dianggap paling menggemparkan seluruh negara pastinya merujuk kepada berita mengenai pertukaran Perdana Menteri buat kali ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Selepas PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun beliau hanya bertahan selama 22 bulan sebelum jawatan nombor satu negara itu diambil alih oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan tahun ini menyaksikan Muhyiddin pula mengundurkan diri.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, lima hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Namun persekitaran politik negara yang terus bergelora langsung tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan reda, dan rakyat berterusan disajikan dengan pelbagai drama desakan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Desakan itu akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bersama jemaah menteri pada 16 Ogos, selepas beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu.

Selepas tawaran politik oleh Muhyiddin kepada pembangkang serta penentangnya tidak diterima, beliau mengambil keputusan mengundurkan diri, dan pada 21 Ogos lepas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Muhyiddin, lalu dilantik ke jawatan Perdana Menteri kesembilan.

Ismail Sabri memperoleh sokongan majoriti seramai 114 ahli Dewan Rakyat, untuk membolehkannya membentuk kerajaan, dan bagi memastikan pentadbiran kerajaan baharu itu berjalan dengan sempurna demi kemaslahatan rakyat serta negara tanpa gangguan politik, beliau sedar sesuatu yang drastik perlu dilakukan.

Pada 13 September lepas, beliau mengorak langkah baharu dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Ia juga antaranya menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022 dan kerjasama itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa jua permasalahan.

Dengan termerterainya MoU itu, suhu politik negara kembali reda dengan tumpuan semua pihak ketika itu terarah kepada usaha pemulihan negara, merangkumi pelbagai aspek, yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Namun ketika kes Covid-19 menunjukkan perkembangan yang semakin baik, malah ketika banyak negeri mula beralih kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta pergerakan rentas negeri baru sahaja dibenarkan, negara sekali lagi dikejutkan dengan pergolakan politik, namun kali ini di Melaka.

Ia menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama PN yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik diri daripada menyokongnya.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), yang memutuskan untuk menarik sokongan itu pada 4 Oktober lepas, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk diadakan.

Rentetan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober lepas menetapkan 20 November sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 8 November dan PRN berkenaan juga menyaksikan penyertaan seramai 112 calon yang layak bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PRN diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melarang aktiviti kempen rumah ke rumah, berceramah dan sebagainya, manakala kempen alternatif menerusi media sosial digalakkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Semasa ramai meramalkan bahawa tiada sebuah parti yang dominan mampu menubuhkan kerajaan sendiri menerusi PRN itu, ramalannya ternyata meleset apabila BN yang bertanding tanpa kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional di kesemua 28 kerusi, menang bergaya dan membentuk kerajaan selepas berjaya menguasai 21 kerusi, melebihi majoriti dua pertiga manakala baki iaitu lima kerusi dikuasai PH dan dua kerusi milik PN.

Politik tanah air tahun ini juga menyaksikan satu lagi PRN terpaksa diadakan, kali ini di Sarawak, selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan proklamasi darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas, selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Penamatan proklamasi darurat itu memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12 (PRN12) diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas dan SPR menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Disember dengan hari penamaan calon pada 6 Disember.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolot 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN yang mencatatkan rekod penyertaan tertinggi, menjangkau sehingga 349 calon.

Selain itu, tahun 2021 juga menyaksikan pemilihan Pas bagi penggal 2021-2023 dan MIC (2021-2024), berjaya dilaksanakan, selepas ia ditangguhkan sejak tahun lepas susulan situasi semasa pandemik Covid-19 ketika itu. - Bernama