Piawaian ketat buang sisa kilang sawit, getah dilaksana

Sahruddin Jamal
Sahruddin Jamal
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ketetapan piawaian lebih ketat akan dikuatkuasakan terhadap aktiviti sisa buangan atau kumbahan bagi kilang sawit dan getah bermula tahun hadapan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, penguatkuasaan itu bertujuan mengurangkan beban pencemaran kumbahan dari kilang kelapa sawit dan getah yang dilepaskan ke dalam sungai dalam Johor.

“Bermula 1 Januari 2019, kilang kelapa sawit dan getah dikehendaki mematuhi standard (piawaian) pelepasan sama ada ke alur air atau tanah yang lebih ketat iaitu Standard Pelepasan kepada Standard A.

“Begitu juga dengan projek pembangunan yang tertakluk kepada penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk patuh kepada Standard A bagi pelepasan ke salur air,” katanya.

Sahruddin (Bersatu-Bukit Kepong) berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Sulaiman Mohd Nor (PKR-Kemelah) pada Sidang Dun Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan boleh diambil bagi sebarang ketidakpatuhan dengan mengeluarkan beberapa prosedur perundangan.

“Ia membabitkan notis, kompaun, tindakan mahkamah, tahan operasi penyitaan, pelucutan hak/pelupusan hak, perintah larangan, perintah berhenti kerja, gantung/batal lesen dan tangkapan,” katanya.

Sahruddin berkata, masalah pencemaran sungai di Johor juga dikenal pasti turut berpunca daripada sebab lain selain sisa buangan kilang.

“Pencemaran yang berlaku juga turut berlaku akibat aktiviti komersial iaitu restoran, gerai, pasar basah, pusat cuci kenderaan, tapak sampah haram dan sebagainya yang tidak tertakluk mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak untuk memastikan kualiti air sungai dapat dipulihkan,” katanya.