Sila log masuk terlebih dahulu.

Mangsa banjir beberapa negeri di PPS terus menurun


Mangsa banjir Muhammad Nabil Irfan Safri, 10, (kiri) bersama adiknya Fahmi Safri, 8, bermain barangan permainan yang disumbangkan Kaffah Kids di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bandaran Teluk Intan.- Foto Bernama
Mangsa banjir Muhammad Nabil Irfan Safri, 10, (kiri) bersama adiknya Fahmi Safri, 8, bermain barangan permainan yang disumbangkan Kaffah Kids di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bandaran Teluk Intan.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir terus beransur pulih di beberapa negeri pada sebelah petang Sabtu dengan jumlah mangsa banjir semakin menurun dan terdapat pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang sebanyak 40,738 mangsa banjir daripada 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari Sabtu.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 17,336 mangsa yang ditempatkan di 90 PPS tengah hari, kepada 16,953 mangsa dari 4,752 keluarga melibatkan 88 PPS petang Sabtu.

Setakat 4 petang, Polis Selangor memaklumkan lapan jalan di lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan.

Antara jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Selain itu jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya), manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser (IPD Hulu Selangor) menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

Di PAHANG, banjir semakin baik pada Sabtu apabila dua PPS terakhir di Lipis ditutup petang ini, selepas daerah Raub dan Jerantut disahkan ‘pulih’ dari banjir, pada tengah hari.

Daerah yang masih terjejas banjir di Pahang kini ialah Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Kuantan dan Pekan, dengan seramai 22,449 orang mangsa banjir masih berada di 156 PPS, demikian menurut aplikasi InfoBencana JKM.

Artikel Berkaitan:

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai masih berada di paras bahaya iaitu, Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku kedua-duanya di Maran serta Sungai Bera di Bera, namun menunjukkan trend menurun.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca tidak hujan pada malam ini di Maran dan Kuantan, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku di sesetengah kawasan di daerah lain.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 6 petang Sabtu, apabila seramai 685 orang daripada 222 keluarga berbanding 814 orang daripada 258 keluarga pada tengah hari, melibatkan lima PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka tinggal hanya 29 mangsa daripada sembilan keluarga setakat 4 petang Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

“Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sementara di NEGERI SEMBILAN, kemas kini terakhir di InfoBencana JKM pada 7 pagi Sabtu menunjukkan seramai 292 mangsa banjir dari 84 keluarga masih berlindung di empat PPS di Jelebu.

Kesemua PPS itu ialah Dewan Dsury Klawang, Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir, Dewan Orang Ramai Kampung Puom dan Sekolah Kebangsaan Dato Undang Abdullah. - Bernama