Pengembara dari negara dikenakan sekatan dibenar masuk Sabah bersyarat

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengembara yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari dari negara berkenaan dibenarkan masuk ke Sabah tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, mereka perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) dua hari sebelum berlepas dari negara-negara tersebut.

"Pengembara juga diminta mengisi borang pengisytiharan e-kesihatan (eHDF) dan mereka yang tidak memenuhi kriteria untuk masuk ke Sabah perlu mendapatkan kelulusan khas daripada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dengan merujuk kelayakan melalui laman sesawang PHEDNP di https://phednp.wbcsite.com/website.

"Selain itu, ujian RT-PCR semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Pertama ke Malaysia juga diperlukan dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan di PMA Pertama tanpa mengira status vaksinasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri berkata, mereka juga tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah selain tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Sabah atau ke destinasi lain di Sabah sehingga lengkap tempoh kuarantin.

Beliau berkata, keputusan ujian RT-PCR pada hari ke-10 juga adalah negatif sebelum mereka diberi kebenaran penamatan kuarantin, penilaian risiko pada hari ke-14 dan lanjutan kuarantin sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Masidi menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) semasa menyambut perayaan Hari Natal atau semasa bercuti bersama keluarga.

Beliau berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 75 kes daripada saringan kontak rapat hari ini yang menunjukkan kurangnya pengamalan SOP.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah 168 kes menjadikan jumlah kumulatif 239,355 kes dengan satu kes kematian dilaporkan di Kota Belud. - Bernama