Nadma tepis dakwaan Hannah Yeoh, BWI tiada tarikh tutup

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkaitan tarikh tutup bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir.

NAadma dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat memaklumkan FAQ (soalan lazim) yang dirujuk oleh Hannah mengenai perkara itu adalah garis panduan lama.

"Ia tidak lagi terpakai lanjutan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan arahan ini turut dilanjutkan kepada semua kerajaan negeri.

"Dakwaan Hannah Yeoh yang menyatakan terdapat tarikh tutup permohonan BWI adalah tidak benar memandangkan kejadian bencana adalah sesuatu yang tidak dapat diramal," menurut kenyataan itu.

Pada 21 Disember lepas, Ismail Sabri memutuskan bahawa semua KIR yang terkesan akibat banjir wajar menerima BWI setiap kali ditimpa bencana.

Sebelum ini, kelayakan BWI hanya diberikan sekali dalam musim tempoh bencana telah diisytiharkan.

Namun, atas keprihatinan Perdana Menteri kini BWI boleh dituntut setiap kali bencana menimpa, tertakluk kepada pengesahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Sementara itu, Nadma menyatakan sehingga Jumaat sejumlah RM26.9 juta peruntukan fasa pertama telah disalurkan ke 11 negeri untuk pembayaran bantuan wang ihsan.

Artikel Berkaitan:

Tambahan akan diberikan mengikut keperluan, menurut kenyataan itu. - Bernama