Penyakit ASF dikesan di ladang komersial Paya Mengkuang

JPV Malaysian mengesahkan berlaku penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang. - Gambar hiasan
JPV Malaysian mengesahkan berlaku penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia pada Jumaat mengesahkan berlaku penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah di sini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pengesanan penyakit berkenaan ekoran penyiasatan dijalankan pihak JPV susulan laporan penternak babi terlibat serta pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember.

Beliau berkata, justeru, JPV telah mengambil langkah awal dan proaktif bagi mengawal dan membasmi penularan penyakit ASF antaranya mengeluarkan Notis Perintah Kuarantin ke atas ladang babi di kawasan Paya Mengkuang dan ternakan tidak dibenarkan keluar atau masuk kawasan terjangkit.

"Pemusnahan semua ternakan babi di ladang terjangkit berdasarkan Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) dan ternakan di ladang yang disahkan bebas jangkitan dibenarkan untuk penyembelihan di rumah sembelih yang diluluskan sahaja tetapi karkas dan daging babi tidak dibenarkan dibawa keluar ke negeri lain.

"Selain itu, syarat pindah ternakan babi dan produk babi di seluruh Semenanjung Malaysia diperketatkan serta pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang babi di kawasan terjangkit serta ladang babi di seluruh negara dipergiatkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemantauan serta persampelan juga dipergiatkan di semua rumah sembelih babi di seluruh negara.

Katanya, semua penternak babi dinasihatkan supaya tidak memberi haiwan berkenaan makanan sisa dapur (swill feeding) dan tidak membuang bangkai babi ke dalam sungai, kolam, kebun dan sebagainya.

Penternak dan orang awam juga diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-8870 2041).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penyakit ASF memberi impak ekonomi yang besar kepada industri penternakan babi kerana ia boleh menyebabkan kematian hingga 100 peratus.

"JPV juga ingin menasihati orang ramai agar tidak panik kerana ASF adalah penyakit bukan zoonotik iaitu tidak berjangkit kepada manusia.

"Namun sebagai langkah keselamatan, daging babi perlu dimasak pada suhu sekurang-kurangnya 70 darjah Celsius selama 30 minit untuk mematikan virus tersebut," katanya. - Bernama