Sila log masuk terlebih dahulu.

Isu sawit: KPPK tidak beri mandat kepada Ahli Parlimen Hulu Langat

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -Foto Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menegaskan ia tidak pernah meminta dan memberikan mandat kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus untuk berunding mengenai perdagangan sawit dan isu-isu berkaitan bagi pihak kerajaan dengan kerajaan Iran.

Menteri berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin berpandangan adalah wajar agar sebarang rundingan yang dibuat, dilaksanakan dengan pendekatan yang betul melalui saluran rasmi kerajaan.

“KPPK sedar potensi pasaran minyak sawit di Iran dan telah mengadakan pertemuan dengan Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi pada 12 Oktober 2021.

“Antara perkara yang telah dibangkitkan ketika pertemuan tersebut adalah permohonan kerajaan Iran untuk meningkatkan had import minyak sawit daripada 30 peratus kepada 40 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung kenyataan Hasanuddin semasa lawatan beliau ke rumah mangsa banjir.

Menurut laporan itu, ketiadaan ahli Parlimen berkenaan semasa kawasan beliau dilanda banjir adalah disebabkan pertemuan dengan Timbalan Presiden Iran bagi merundingkan penurunan cukai kerajaan Iran ke atas minyak sawit yang dibawa masuk ke negara itu.

Zuraida berkata, misi lawatan ke Iran telah dirancang untuk dilaksanakan pada suku pertama 2022 bagi meneruskan usaha meningkatkan perdagangan sawit Malaysia dengan Iran.

“Ini selaras dengan fungsi dan peranan kementerian untuk meningkatkan perdagangan sawit Malaysia di peringkat global. Usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi mencapai hasrat kerajaan membangunkan industri sawit negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin strategi yang telah dirancang dalam meningkatkan pasaran sawit negara antara Malaysia dan Iran dapat dicapai melalui hubungan kukuh dengan cara yang lebih teratur,” katanya. - Bernama