Misi bantuan banjir, NGO, pertubuhan belia boleh mohon bantuan KBS

Wasitah (tiga kanan) ketika meninjau pusat agihan barangan bantuan banjir di Kombes pada Jumaat.
Wasitah (tiga kanan) ketika meninjau pusat agihan barangan bantuan banjir di Kombes pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan pemberian bantuan kepada persatuan atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pertubuhan belia yang menggerakkan misi bantuan pasca banjir ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun, ia akan dipertimbangkan kepada persatuan dan NGO yang berdaftar dan mempunyai urus tadbir yang baik bagi melancarkan misi bantuan banjir tersebut.

"Sedia maklum pasca banjir akan menjadi satu tempoh yang boleh berlarutan mungkin sehingga pertengahan bulan Januari tahun hadapan.

"Justeru, bagi menampungnya, persatuan dan pertubuhan mungkin akan menerima keperluan sukarelawan bagi bantuan di tempat pengagihan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai lawatan fasiliti Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes) dan pusat pengagihan barang mangsa banjir di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak berkenaan boleh membuat perancangan sehingga pertengahan bulan Januari nanti.

"Mereka boleh sebenarnya memohon bantuan bagi kami pertimbangkan sedikit elaun sukarelawan dan menjadi rakan kongsi kepada gerakan Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mengikut data terkini lebih kurang 8,000 sukarelawan telah mendaftar dengan jabatan berkenaan untuk terlibat secara langsung dalam misi bantuan bencana banjir.

Katanya, jumlah berkenaan melibatkan enam negeri yang aktif menggerakkan sukarelawan di kawasan terlibat banjir seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

Di Negeri Sembilan, sehingga kini 19 lokasi penghantaran barangan keperluan dan 10 lokasi pembersihan telah dilaksanakan oleh NGO serta persatuan-persatuan belia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan termasuk Sungai Buloh, Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor.