Banjir: Perlis gerakkan misi kemanusiaan ke Selangor

Azlan
Azlan
A
A
A

KANGAR - Perlis menggerakkan ‘Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis’ dengan membawa pelbagai bentuk bantuan bernilai kira-kira RM500,000 untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, misi tersebut disertai sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bagi membantu mangsa terjejas.

"Kita telah memilih kawasan Dusun Tua, Hulu Langat untuk kita berikan bantuan seperti ditetapkan pihak penganjur di Selangor.

"Terdapat tiga kategori bantuan akan diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan Misi Kemanusiaan dan Prihatin Perlis di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tiga kategori bantuan itu adalah wang tunai kepada mangsa banjir untuk membeli barangan makanan, barangan keperluan seperti tilam, selimut dan tikar getah serta bantuan pembersihan rumah dan kawasan terjejas.

Katanya, misi tersebut turut membawa barangan makanan dan pakaian untuk diagih kepada mangsa memerlukan.

Azlan berkata, beliau mengetuai misi disertai kira-kira 100 sukarelawan itu dan akan berada di Hulu Langat hingga Sabtu ini.

"Saya dimaklumkan ada juga individu tertentu yang telah bergerak terus ke sana pagi tadi membawa lori masing-masing dengan muatan pelbagai bentuk barangan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: