Ops SAR tujuh mangsa hilang di Pahang giat dijalankan: JBPM

Mohammad Hamdan pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.
Mohammad Hamdan pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh individu yang masih hilang di Pahang susulan kejadian banjir.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, operasi itu melibatkan kawasan di daerah Bentong membabitkan empat mangsa dan masing-masing satu di Raub, Temerloh dan Pekan.

"Setakat ini, kita menerima 33 laporan berhubung orang hilang dalam insiden banjir di mana 26 daripadanya dijumpai meninggal dunia iaitu 10 mangsa di Pahang dan 16 mangsa di Selangor," katanya pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada Khamis.

Dalam perkembangan berasingan, Mohammad Hamdan memaklumkan mengenai banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, beliau berkata, pengajaran yang boleh diperoleh daripada kejadian itu adalah penduduk seharusnya mendengar nasihat bomba jika diarahkan untuk berpindah.

"Ketika air naik pada (paras) buku lali, kita ada datang membuat pemantauan di kawasan Sri Muda dan menasihati penduduk supaya berpindah.

"Segelintir mereka menolak kerana berdasarkan pengalaman air akan surut selepas itu, namun ketika bomba bergerak pulang air mula naik secara mendadak, deras dan berbahaya.

"Bila air dah naik mereka mula membuat panggilan kecemasan, namun kita tidak dapat untuk kembali semula ke sana dengan segera kerana sedang menyelamatkan mangsa yang lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan kesiapsiagaan untuk menghadapi banjir namun situasi banjir di Selangor adalah di luar jangka.

Artikel Berkaitan:

"Hujan di Selangor pada Jumaat dan Sabtu lalu amat luar biasa dan aset-aset bomba di Selangor selalunya bersiap sedia untuk membantu mangsa di negeri pantai timur dan utara.

"Situasi luar jangka itu pernah berlaku di Terengganu pada tahun lalu, apabila kawasan Marang yang tidak dimasukkan sebagai titik panas (hot spot) terjejas teruk akibat banjir," jelasnya.

Mengulas mengenai video tular berhubung rungutan mangsa yang mendakwa pasukan penyelamat lambat tiba untuk memberi bantuan, Mohammad Hamdan memaklumkan keadaan arus yang deras menyukarkan operasi menyelamat dilakukan.

"Kita faham, mereka menunggu lama dan lapar, kita mengutamakan nyawa serta keselamatan mangsa dan telah meminta mereka tunggu untuk diselamatkan,"ujarnya.