Sila log masuk terlebih dahulu.

Rina jawab isu berkasut tumit tinggi lawat mangsa banjir

Rina ketika berucap merasmikan program Usahawan Wanita Prihatin Bangkit Bersama-Rise Together di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Rina ketika berucap merasmikan program Usahawan Wanita Prihatin Bangkit Bersama-Rise Together di Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun meminta rakyat tidak salah faham berhubung isu dirinya yang berkasut tinggi ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Sabtu lalu.

Rina berkata, dalam keadaan tergesa-gesa untuk melawat mangsa banjir, beliau tidak sempat menukar keseluruhan pakaiannya kerana sebelum itu beliau menghadiri Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah, beliau turut meminta izin untuk keluar awal daripada mesyuarat berkenaan kerana mahu melihat sendiri keadaan mangsa yang berpindah.

"Saya ingin maklumkan pada 19 Disember 2021, saya menghadiri Perhimpunan Agung Bersatu. Sebagai Ketua Srikandi Bersatu, saya perlu berada di sana. Ketika mesyuarat berlangsung, saya terima banyak laporan tentang kejadian banjir dan hati saya tidak tenang kerana risaukan keadaan mangsa.

"Saya cuma sempat tukar baju, sebelum itu saya pakai baju kurung dan saya tak teringat langsung pasal kasut kerana apa yang lebih penting bagi saya ketika itu adalah keberadaan saya di PPS demi kebajikan mangsa-mangsa banjir," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Usahawan Wanita Bangkit Bersama 2021- Rise Together di Quill City Mall di sini pada Khamis.

Sebelum ini gambar Rina yang mengenakan kasut tinggi ketika melawat PPS di Sekolah Jenis Kebangaaan Tamil (SJKT) Saraswathy tular di media sosial dan menerima kecaman netizen kerana dilihat seolah-olah tidak sensitif dengan keadaan semasa.

Sehubungan itu, Rina turut memohon maaf sekiranya ada segelintir yang berpandangan bahawa isu kasut itu lebih penting jika dibandingkan dengan kehadiran beliau di PPS.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta maaf sekiranya isu kasut itu sebenarnya lebih penting jika dibandingkan dengan keberadaan saya di PPS.

"Kita mudah mengata di media sosial, kita mudah menulis bermacam perkara tetapi apakah sumbangan dan bantuan kita kepada mangsa banjir?," soal beliau sambil meminta orang ramai lebih berfikiran terbuka dengan tidak hanya menilai daripada sekeping gambar serta bersama-sama membantu mangsa banjir.

Mengulas lanjut, Rina berkata, beliau juga pada awalnya mahu membatalkn kehadiran dalam majlis itu ekoran keadaan negara yang masih berhadapan musibah banjir tetapi beliau mengubah keputusan apabila penganjur memohon beliau untuk tetap hadir.

"Penganjur maklumkan kehadiran saya juga diperlukan untuk bersama-sama usahawan atas program Usahawan Wanita Prihatin Bangkit Bersama kerana kita tahu dalam suasana sekarang ramai juga wanita terkesan akibat banjir.

"Jangan melihat bahawa kita berada di sini bermakna kita lupakan ramai rakyat yang sedang susah. Sedangkan program ini juga digunakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir," ujarnya.

Menerusi program itu yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad depan, 'Rise Together' yang terdiri daripada paduan lapan badan bukan kerajaan (NGO) wanita yang prihatin turut menjalankan misi kutipan bantuan banjir yang akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Kutipan Bantuan Banjir 'Rise Together' itu akan disalurkan kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan oleh Yayasan Kebajikan Negara.