Tiada aduan masalah terputus bekalan makanan di NS

Ain Arjuna
Ain Arjuna
A
A
A

SEREMBAN - Tiada aduan berkaitan masalah terputus bekalan makanan diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan susulan kejadian melanda negeri ini sejak Sabtu lepas.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, secara keseluruhan bekalan barang keperluan adalah mencukupi dan masih mudah diperoleh di mana-mana premis peruncit terpilih (DDR) di negeri ini.

Menurutnya, status kedudukan bekalan berdasarkan 151 premis DDR di seluruh negeri melibatkan gula dengan jumlah sebanyak 95,188 kilogram (kg), tepung gandum (69,269kg), minyak masak (264,943kg), telur (520,028 biji), beras (517,898kg), roti (5,042 buku) dan 9,541 ekor ayam.

"Kita telah menjalankan pemeriksaan di kawasan terlibat banjir dan kawasan sekitarnya antaranya beberapa kampung dan kawasan di sekitar Rantau, Jelebu, Johol, Linggi, dan Sendayan untuk pemantauan bekalan barangan keperluan.

hasil pemantauan yang dijalankan mendapati lima DDR dan tiga stesen minyak terkesan disebabkan banjir iaitu di Linggi, Kuala Klawang dan Mambau," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

"Justeru, bekalan barang keperluan boleh didapati di premis atau stesen minyak lain yang berhampiran di kawasan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengedar bantuan berupa kotak makanan kepada mangsa banjir yang terlibat antaranya di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir dan PPS Kampung Jerang pada Selasa lepas.

"Kami akan berusaha untuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka ini melalui Foodbank KPDNHEP selain mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang ingin turut serta memberikan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas, beliau berkata kementerian turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di negeri ini.

Beliau turut menasihatkan peniaga di negeri ini supaya mematuhi arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan selain tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP.

Katanya pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang termasuk melalui e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my dan WhatsApp di talian 019-2794317. - Bernama