Dua rakan baiki mesin basuh, peti ais secara percuma

Muhamad Allami (kiri) dan Abdul Raftri membaiki mesin basuh di salah sebuah rumah mangsa banjir di Taman Perumahan Inderapura.
Muhamad Allami (kiri) dan Abdul Raftri membaiki mesin basuh di salah sebuah rumah mangsa banjir di Taman Perumahan Inderapura.
A
A
A

KUANTAN - Seorang juruteknik bersama rakannya nekad membantu mangsa banjir dengan menyediakan perkhidmatan membaiki alat elektronik seperti mesin basuh dan peti ais secara percuma.

Muhamad Allami Zainuddin, 33, berkata, perkhidmatan itu dilakukan bersama rakannya, Abdul Raftri Abdullah, 25.

Menurutnya, kebiasaannya selepas banjir hampir 80 hingga 90 peratus barangan elektronik tidak boleh digunakan dan perlu dibaik pulih.

"Bermula dari situ, saya rasa simpati dan merasakan mangsa banjir ini perlu dibantu dengan menawarkan khidmat percuma seperti ini," katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Inderapura pada Khamis.

Muhamad Allami berkata, perkhidmatan itu diuar-uarkan melalui aplikasi WhatsApp dan tidak menyangka ia tular dalam kalangan warga Kuantan.

“Saya terkejut dengan sambutan yang menggalakkan dan ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat ini.

"Untuk hari ini (Khamis), saya sudah menerima lebih 200 permintaan daripada penduduk di sekitar Kuantan untuk memeriksa dan membaiki mesin basuh dan peti ais di rumah mereka," katanya.

Beliau berkata, kos bagi memeriksa barangan elektronik bermula RM80 hingga RM100 dan itu tidak termasuk membaiki kerosakan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kadar itu dikenakan dalam keadaan sekarang sudah tentu membebankan golongan tidak berkemampuan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Norazlina Nordin, 57, berkata, perkhidmatan yang ditawarkan itu sangat membantu mangsa banjir.

Gambar dari kiri: Norazlina, Nor Syuzana
Gambar dari kiri: Norazlina, Nor Syuzana

“Khidmat yang ditawarkan sangat membantu kerana mesin basuh dan peti ais ini sangat penting. Saya sangat bersyukur ada insan yang baik seperti mereka berdua," katanya.

Nor Syuzana Hazlan, 22, juga memuji langkah yang diambil Muhamad Allami dan rakannya ketika orang ramai berdepan dengan musibah banjir.

"Mereka ikhlas hati datang membaiki barangan saya tanpa ambil apa-apa bayaran," katanya.