Pemuda Amanah pertahan water jet RM1,000

Pembelian water jet RM1,000 seunit dipersoalkan oleh segelintir pihak di media sosial. (Gambar kecil: Mohd Hasbie)
Pembelian water jet RM1,000 seunit dipersoalkan oleh segelintir pihak di media sosial. (Gambar kecil: Mohd Hasbie)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan usaha mereka mengumpul dana untuk membeli penyembur air atau 'water jet' bernilai RM1,000 seunit.

Ketuanya, Mohd Hasbie Muda berkata, pihaknya terbuka menerima kritikan segelintir pihak yang beranggapan nilai seunit water jet itu dianggap mahal sedangkan peralatan itu boleh didapati dengan harga serendah RM200.

Menurut beliau, pihaknya mengarahkan Jawatankuasa Khas Bantuan Banjir untuk membeli peralatan berkualiti dan tahan lasak bersesuaian dengan kuantiti rumah yang perlu dibersihkan.

"Bagus ramai bincang pasal water jet yang Pemuda Amanah hendak beli. Sekurang-kurangnya ramai mulai sedar dan faham beza antara water jet harga RM200 dengan RM1,000 ke atas.

"Bagi yang biasa dengan dengan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, mereka mudah faham. Kalau guna water jet RM200 baru guna sekejap sudah panas, selepas sejam perlu sejukkan dulu. Kita bukan cuci hanya satu rumah sahaja, kita gunakan peralatan itu secara berterusan dari pagi hingga malam," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Isu kutipan sumbangan bagi pembelian water jet bernilai RM1,000 yang dikongsikan Facebook Pemuda Amanah Nasional pada Rabu mula ditularkan di media sosial.

Ia susulan harga tersebut dikatakan mahal dan kutipan tersebut meragukan.

Mohd Hasbie berkata, bagi mereka yang ragu-ragu dengan usaha tersebut dialu-alukan menyumbang terus peralatan untuk kegunaan pembersihan pasca banjir.

Artikel Berkaitan:

"Yang penting kita sama-sama menyumbang untuk bantu mangsa banjir. Apa pun terima kasih kepada yang kritik. Ini juga satu bentuk semak dan imbang kepada Pemuda.

"Pemuda Amanah Nasional adalah sayap parti yang cukup teliti dan telus dalam bab tatacara kewangan. Setiap sen yang dibelanjakan kami soal dalam mesyuarat jawatankuasa pimpinan, Setiap pembelian dan pembayaran mesti ada resit," katanya.

Pada masa sama beliau berharap, pihak luar tidak mempolitikkan usaha mana-mana pihak untuk membantu.

"Jika ada kekeliruan sepatutnya boleh bertanya secara langsung bukan memburuk-burukkan dan memberikan persepsi negatif kepada pihak yang membantu.

"Saya fikirkan motivasi ahli-ahli Pemuda Amanah yang sedang bertungkus-lumus di lapangan. Ada sebahagiannya rumah sendiri kena banjir tetapi tetap turun ke lapangan untuk membantu," katanya.