Lambat bertindak, Nadma 'kena serang'

Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil bekalan makanan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya. - Foto Bernama
Mangsa-mangsa banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 mengambil bekalan makanan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) 'diserang' selepas didakwa lambat bertindak selain gagal menggerakkan aset lebih cepat dalam membantu penduduk yang terjejas di kawasan yang dilanda banjir.

Perkhidmatan kaji cuaca di tiga negara telah mencerap sistem tekanan rendah yang menyebabkan hujan selama berhari-hari dan memberi amaran kepada kerajaan tentang hujan lebat berterusan yang dijangka melanda.

Namun, kerajaan seolah-olah sepi terutama memberikan amaran kepada penduduk sekali gus menyebabkan ramai terperangkap dan lebih menyayat hati adalah berita mengenai mangsa banjir yang lemas dan meninggal dunia di beberapa kawasan yang dilanda banjir.

Bagi pakar meteorologi, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah beliau mempersoalkan di mana fungsi Nadma dan juga Majlis Keselamatan negara (MKN).

Menurutnya, kejadian bencana itu menunjukkan bahawa, selain sistem amaran dan tindak balas yang lebih berkesan, ada keperluan untuk kerajaan mengubah dasar dalam menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim, selain meningkatkan kesedaran masyarakat umum.

Sistem amaran awal amat penting untuk mengelakkan kerosakan yang teruk dan kehilangan nyawa. Untuk memastikan sistem itu berjaya, semua agensi berkaitan perlu berkomunikasi dengan lebih baik bagi memberi amaran kepada umum.

Azizan mendakwa semua agensi - Nadma, MetMalaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memberi amaran lebih awal kepada penduduk Lembah Klang walaupun mempunyai sistem amaran banjir yang baik.

Selain itu, Penyelidik perubahan iklim, Yin Shao Loong daripada Institut Penyelidikan Khazanah menyifatkan sistem amaran awal harus disertakan dengan langkah-langkah kesiapsiagaan dan tindak balas pantas oleh Nadma.

Artikel Berkaitan:

Beliau melihat beban tidak harus dilepaskan kepada orang ramai untuk menjaga kebajikan sendiri jika sumber kerajaan lembab bertindak.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menyangkal kritikan terhadap Nadma itu dan menjelaskan segala pengurusan berkaitan bencana di kawasan terbabit akan diurus oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah.

Nadma pula akan membantu sebagai urus setia kerana agensi ini hanya ada di peringkat persekutuan dan tiada kakitangan di peringkat negeri atau daerah.

Nadma juga hanya ada seramai 50 kakitangan bertugas di peringkat pusat dan segala urusan pengurusan bencana akan diuruskan di peringkat negeri, pengerusinya adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), manakala di peringkat daerah adalah tanggungjawab pegawai daerah.

Nadma merupakan sebuah agensi pengurusan kecemasan kerajaan Malaysia yang berfungsi sebagai penyelaras kepada agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana.

Nadma diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang membolehkan ia menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan yang dijalankan oleh agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan sebagainya.

Menurut Abdul Latiff, banjir adalah tanggungjawab bersama dan jika mengikut Perlembagaan bagi pengurusan bencana banjir ini ia mempunyai tiga lapisan kuasa. Pertama kuasa persekutuan, kedua kuasa negeri dan seterusnya kuasa di peringkat daerah atau pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga menjelaskan struktur dan organisasi yang dimiliki Nadma ketika ini sudah cantik dan tersusun tetapi dalam masa sama tidak menafikan ada kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki.

Beliau berkata, dalam mana-mana krisis akan wujud ketidaksempurnaan tetapi jika gunakan pendekatan menuding jari kepada pihak tertentu ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah dan Nadma akan terus bergerak untuk selesaikan masalah yang timbul.