Bakal pengantin maut motosikal rempuh jentera bomba

Anggota bomba dan orang awam yang turut melihat mangsa yang terbaring di atas jalan raya akibat perlanggaran itu.(Gamabr kecil: MUHAMMAD AFIFI AMIRI)
A
A

KOTA BHARU - Seorang bakal pengantin maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah jentera bomba di lampu isyarat Persimpangan Batu 4, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu berhampiran Restoran New Horizon, di sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Afifi Amiri Mohamad Nawawi,28, dari Tendong, Pasir Mas, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima maklumat satu kes kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan lori jentera bomba yang berlaku pada jam 6.08 petang.

Katanya, sebelum kejadian itu, seorang pemandu yang berusia 51 tahun memandu jentera terbabit dari arah Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Tunjung di Jalan Pasir Mas-Salor menuju ke Ketereh selepas menerima panggilan kecemasan berhubung satu kemalangan.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat itu, pemandu membelok ke kanan untuk masuk ke susur jalan menghala ke Ketereh.

“Kemudian datang motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kubang Kerian menghala ke Pasir Mas tiba-tiba merempuh sisi kiri hadapan jentera tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan kerana ada kenderaan yang gagal berhenti semasa lampu isyarat merah selain tidak memberi laluan kepada kenderaan jentera bomba,” katanya.

Mangsa dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga pada 30 Mac nanti dan sudah pun mengedar kad jemputan perkahwinannya.

Arwah juga ada muat naik perkongsian mengenai cara solat jenazah menerusi akaun Facebooknya semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.