Wanita maut motosikal rempuh kereta

Mangsa menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Ladang, Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Ahad.
Mangsa menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Ladang, Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Ladang, Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Ahad.

Kemalangan jam 12.15 tengah hari itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun yang beralamat di Bestari Jaya meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis menerima maklumat kejadian kemalangan melibatkan dua kenderaan itu pada jam 12.37 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis WMOTO 15 dalam perjalanan dari Jalan Ladang menuju ke Bestari Jaya.

"Pada sama, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun sedang bergerak lurus, namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari simpang sebelah kanan tidak memberhentikan kenderaannya lalu merempuh bahagian kanan kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ramli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

" Proses bedah siasat akan dijalankan setelah pihak Hospital menerima keputusan saringan Covid-19, manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan pada bahagian tangan kanan," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.