Tiga lelaki ditahan kes pukul cermin kereta

Keratan akhbar Sinar Harian berhubung kejadian yang tular di laman sosial memaparkan suspek-suspek bertindak memukul cermin kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar.
Keratan akhbar Sinar Harian berhubung kejadian yang tular di laman sosial memaparkan suspek-suspek bertindak memukul cermin kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes memecahkan cermin seorang pemilik kereta dengan menggunakan topi keledar di Jalan Lundang di sini pada Isnin.

Dua daripada mereka berusia 19 dan 21 tahun ditahan di Jalan Dusun Muda pada jam 2.40 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

“Suspek yang berusia 21 tahun bagaimanapun didapati memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Remaja berusia 16 tahun ditahan reman dua hari manakala dua lagi ditahan reman selama tiga hari,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan mengenai video tular di media sosial tiga lelaki bermotosikal mengejar sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki yang berusia 31 tahun.

Salah seorang daripada mereka menghentak cermin kenderaan itu dengan menggunakan topi keledar kerana dipercayai berang kereta dipandu mangsa hampir terhimpit motosikal mereka.

Artikel Berkaitan: