Penduduk tebing Sungai Pahang diminta siap sedia berpindah

Penduduk yang terjejas dengan limpahan air Sungai Pahang dipindahkan di PPS SMK Lepar pada Rabu.
Penduduk yang terjejas dengan limpahan air Sungai Pahang dipindahkan di PPS SMK Lepar pada Rabu.
A
A
A

PEKAN - Penduduk yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Pahang di daerah ini diminta supaya bersiap sedia untuk berpindah, jika berlaku limpahan air Sungai Pahang di kawasan penempatan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua penduduk berhubung limpahan air sungai dari Ulu Tembeling dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, banjir ini berlaku akibat limpahan air Sungai Pahang bukan satu perkara baharu bagi penduduk di kawasan terlibat dan penduduk diminta supaya berjaga-jaga.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai daerah dalam mesyuarat harian, kita kini sedang menghadapi (limpahan) air yang mula sampai dari Temerloh. Dalam situasi sedang menanti air dari Ulu Tembeling, belum sampai air sungai Ulu Tembeling sudah macam ni (banjir).

"Jadi, saya berharap penduduk yang menyedari (air mula naik) berpindahlah meninggalkan rumah masing-masing pada peringkat awal, jangan dah sampai tengah malam baru nak minta bantuan untuk pindah keluar, ia akan menyukarkan usaha penyelamat," katanya.

Beliau demikian selepas menyertai operasi memindahkan seramai 45 penduduk dari Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Pulau Manis di sini pada Rabu.

Kesemua mangsa daripada sembilan buah keluarga ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Lepar.

Khairuddin turut memaklumkan bahawa penduduk Bukit Kenau telah terputus hubungan (jalan) dan tidak dipindahkan kerana kedudukan kawasan perumahan agak tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pemindahan penduduk di kawasan tebing sungai Pahang dipindahkan di PPS SMK Lepar pada Rabu.
Pemindahan penduduk di kawasan tebing sungai Pahang dipindahkan di PPS SMK Lepar pada Rabu.

Jelasnya, bekalan makanan akan disalurkan kepada penduduk di sana.

"Hari ini (Rabu) hari ketiga penduduk di situ (Bukit Kenau) terputus hubungan, kita telah menghantar bekalan kepada penduduk selain bekalan yang telah disediakan di pengkalan hadapan sebelum ini.

"Kita juga bersedia dengan sebarang kemungkinan luar biasa (berlakunya) banjir) bagi memastikan seramai 350 orang daripada 54 buah keluarga di Bukit Kenau berada dalam keadaan selamat," katanya.

Khairuddin berkata, pada Selasa pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Peramu dan Balai Bomba Chini sudah memindahkan penduduk di empat buah kampung.

"Kita sudah pindahkan penduduk dari Kampung Pelak, Kampung Tanjung Cempaka dan Kampung Bunut melibatkan 232 orang serta 24 mangsa dari Kampung Tebat turut dipindahkan," ujarnya

Sementara itu, Wan Samsul berkata, semua logistik dan aset bagi bantuan menyelamat mangsa banjir mencukupi.