Alat pembersihan, susu antara yang diperlukan

Beginilah keadaan rumah mangsa selepas banjir.
Beginilah keadaan rumah mangsa selepas banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Alat pembersihan rumah seperti penyapu, penyodok, penolak air dan berus serta susu bayi antara keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir.

Tenaga kerja juga dikehendaki bagi mengemas kediaman mangsa memandangkan keadaan banjir di beberapa kawasan telah pulih.

Mangsa banjir di Taman Sri Muda, Mohd Ridzuan Ahmad, 36, berkata, bantuan itu amat diperlukan bagi penduduk di situ memandangkan barangan tersebut masih tidak diperoleh.

“Sekarang ini bantuan makanan memang tidak putus, pakaian juga. Sekarang apa yang kami harap adalah bantuan barang untuk kemas rumah.

“Rumah kami dipenuhi dengan selut (lumpuh), sampah sarap dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Sri Muda pada Khamis.

Isteri kepada Mohd Ridzuan, Nur Hidayah Jamaludin, 31, berkata, bantuan susu kanak-kanak juga amat diperlukan.

“Anak saya, Muhammad Harraz, empat tahun dan Lara Humaira, dua tahun hanya minum susu jenama Dugro.

“Jika minum susu lain, mereka akan muntah. Ia akan buat kami lebih risau,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kekwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Raja Nur Hasliza Raja Hamil, 39, berkata, bantuan tenaga kerja adalah amat diperlukan.

Raja Nur Hasliza yang merupakan mangsa banjir di Padang Jawa, memberitahu, tenaga kerja sangat diperlukan kerana keadaan kesihatan suaminya yang tidak mengizinkan selain mempunyai anak kecil.

“Apa yang kami harapkan adalah bantuan tenaga kerja. Suami saya sakit jantung. Anak-anak pula berumur 12, 10, enam, lima tahun dan sembilan bulan.

“Suami saya kemas sejak Isnin sehingga hari ini masih belum selesai, sebab banyak sangat yang perlu dikemas,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Jelasnya, bantuan makanan, penginapan dan kesihatan amat baik kerana ia disediakan oleh NGO dan kerajaan.

“Alhamdulillah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO banyak main peranan dan beri sumbangan.

“Saya berada di sini pun selesa. Ada bantal, Toto (selimut tebal) untuk tidur. Makanan pula memang ada dari pagi sampai petang,” ujarnya.

Turut memerlukan tenaga kerja, Palani Andy, 57, berkata, bantuan tersebut diperlukan untuk memastikan rumah dapat dikemas pada kadar segera.

“Kita sekarang kena kemas cepat. Nak bersihkan. Sebab dengarnya air dah naik kembali. Kami tidak mahu tersangkut lagi di sini,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang.

Luahnya yang merupakan seorang pekerja kilang, bantuan yang diterima setakat ini hanyalah makanan dan juga pakaian.

“Makanan pun kami terima selepas sehari berada di sini. Bantuan banyak cuma tidak sampai pada waktunya,” ujarnya.