Jadikan pencapaian Kean Yew pembakar semangat

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

SKUAD badminton negara harus menjadikan pencapaian luar biasa pemain perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021 sebagai pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan pada masa depan.

Walaupun rata-rata peminat serta pemerhati sukan menyifatkan pencapaian dilakar pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebagai tamparan hebat buat kem badminton negara, namun bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berpendapat pemain tidak perlu berasa malu, sebaliknya mencontohi semangat dimiliki pemain berusia 22 tahun itu.

“Kemenangan Kean Yew adalah contoh terbaik untuk pemain kita...dia bukan datang negara jaguh tapi boleh menang kejohanan dunia...apa-apa pun boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Pemain di ranking ke-22 dunia itu merangkul gelaran juara dunia selepas mengalahkan K Srikanth dari India 21-15, 22-20 pada aksi final yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin pada Ahad lepas.

Kejayaan itu menyaksikan Kean Yew muncul pemain pertama Singapura merangkul gelaran juara dunia manakala wakil Malaysia masih belum pernah memenangi kejohanan dunia.

Chong Wei pernah muncul pemain terbaik Malaysia di kejohanan itu apabila meraih gelaran naib juara pada tiga edisi iaitu 2011, 2013 dan 2015.

Dalam pada itu, Chong Wei berkata, pemain kebangsaan khususnya Lee Zii Jia berpeluang besar untuk merangkul kejuaraan di Sepanyol itu susulan ketiadaan beberapa bintang dari Indonesia, Jepun dan China.

Namun, juara All England 2021 itu tidak dapat meneruskan cabaran apabila terpaksa menarik diri berikutan kecederaan dialami ketika saingan suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Chong Wei berharap agar Zii Jia lebih berhati-hati dan mengelak daripada mengalami kecederaan berulang pada masa depan selain percaya pengalaman diraih pemain kelahiran Kedah itu mampu mematangkan diri demi melakar lebih banyak pencapaian membanggakan pada masa depan.

“Semoga Zii Jia kembali fokus, dapat keyakinan balik dan terus bersemangat,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim menganggap penyertaan Kean Yew yang mewakili Singapura biarpun pemain itu dilahirkan dan dibesarkan di negara ini sebelum Persatuan Badminton Singapura (SBA) menawarkannya biasiswa di Sekolah Sukan Singapura ketika berusia 12 tahun sebagai kerugian kepada kem badminton kebangsaan.

“Bukan masanya hendak salahkan sesuatu pihak...mungkin kehendak dia sebab Singapura beri biasiswa dan Kean Yew ambil peluang. Mungkin dia nampak di sini susah hendak masuk skuad kebangsaan,” katanya.

Biarpun Kean Yew bukan pemain pilihan untuk memenangi kejohanan kali ini, Roslin percaya kejayaan bersejarah itu hadir atas usaha keras pemain itu yang mahu berjaya dalam arena badminton antarabangsa.

Roslin dalam masa sama mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka mata terhadap kejayaan Kean Yew itu demi hala tuju dan kegemilangan sukan badminton pada masa depan.

Pada edisi kali ini, hanya pasangan beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih gangsa pada aksi separuh akhir Sabtu lepas selepas kecundang kepada beregu keempat dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 12-21, 9-21. - Bernama