Pemandu lori ambil dadah alasan mahu hilang mengantuk

Lelaki berusia 42 tahun (tengah) diperiksa anggota polis selepas disahkan positif dadah jenis methamphetamine dalam operasi bersepadu di RNR Simpang Renggam arah Utara, Kluang pada Selasa.
Lelaki berusia 42 tahun (tengah) diperiksa anggota polis selepas disahkan positif dadah jenis methamphetamine dalam operasi bersepadu di RNR Simpang Renggam arah Utara, Kluang pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Perlu memandu lebih 13 jam dan mahu menghilangkan mengantuk antara alasan digunakan seorang pemandu lori yang membawa muatan buah-buahan di sini untuk mengambil dadah sebelum dia ditahan polis dalam satu operasi pada Selasa.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai menghantar buah-buahan di Kempas, Johor Bahru yang turut ditemani anak lelakinya yang berusia 14 tahun.

“Saya ambil sebab nak berjaga malam kerana memandu lama. Saya bawa lori ini daripada malam tadi (dari Kedah) ini baru nak balik semula ke sana.

“Hisap ini (dadah) petang tadi, sebelum bergerak, saya ambil pun sebab bekerja, nak hilang ngantuk,” katanya ketika disoal seorang pegawai polis selepas ditahan pada Operasi Bersepadu Bas Ekpress, Bas Persiaran dan Lori di hentian rehat dan rawat (RNR) Simpang Renggam arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditemui berkata, operasi diadakan itu adalah bagi mengesan aktiviti salah laku jalan raya yang mambabitkan kenderaan perdagangan.

Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 119 kenderaan telah diperiksa melibatkan 65 (bas ekspres), 36 (lori) dan 18 lain-lain kenderaan.

"Operasi ini diadakan hasil daripada aduan awam yang mendakwa berlakunya kes-kes buli di jalan raya membabitkan kenderaan berat.

"Ia juga bagi mengesan kesalahan-kesalahan seperti memandu melulu, lesen memandu tamat tempoh dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti ini (pemandu lori dan bas ekpres).

"Jadi hasil daripada pemeriksaan dilakukan kita telah mengeluarkan 39 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya selain lapan penumpang bas ekpres dikenakan kompaun kerana tidak mendaftar masuk dalam aplikasi MySejahtera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan berkata, dalam operasi itu seramai 31 individu turut diarahkan menjalani ujian air kencing di mana seorang pemandu lori telah didapati positif dadah jenis methamphetamine.