Ajal selepas tukar tayar kereta pancit

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 218.7 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan di Alor Gajah, awal pagi Selasa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 218.7 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan di Alor Gajah, awal pagi Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki maut apabila dilanggar sebuah lori selepas menukar tayar keretanya yang pancit di Kilometer 218.7 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi, mangsa Muhamad Zaki Redzwan, 42, bersama isteri, 42, dan anaknya berusia 15 tahun dalam perjalanan dari Batu Gajah, Perak menghala ke Skudai, Johor.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri kereta Proton Perdana dinaiki tiga beranak itu pancit.

Menurutnya, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk menggantikan tayar namun setelah siap, mangsa telah dilanggar oleh lori tersebut.

"Akibat pelanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Menurut keterangan isteri mangsa, selepas perlanggaran, lori terbabit tidak berhenti dan telah meneruskan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,'' katanya.

Artikel Berkaitan: