MBI selenggara sungai, longkang lebih kerap

Rumaizi Baharin
Rumaizi Baharin
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan kerja-kerja mengorek sungai dan mencuci longkang dengan lebih kerap bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan bandar raya itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, langkah itu sebagai persediaan bagi memastikan aliran air lancar sekiranya berlaku taburan hujan luar jangka sepanjang fasa peralihan monsun yang dijangka berakhir Februari depan.

Menurutnya, sistem tadahan hujan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hanya mampu menampung purata taburan hujan 200 milimeter (mm) sahaja dan sekiranya melebihi daripada kadar itu boleh menyebabkan banjir besar berlaku.

"Taburan hujan di Ipoh sebelum ini adalah di bawah 100 mm, tetapi keadaan sekarang lain kerana ada yang melebihi 100 mm.

"Seperti yang terjadi baru-baru ini di Taman Cempaka hingga mengakibatkan banjir kerana hujan turun sampai 130 mm, sesetengah di kawasan lain pula merekodkan 110 ke 120 mm.

"Keadaan itu di luar jangkaan, jadi langkah yang boleh kita ambil sekarang adalah untuk mengurangkan risiko banjir dengan memastikan sistem tadahan banjir di Ipoh ini termasuklah sungai, kolam tadahan dan saliran berada dalam keadaan baik supaya bila hujan, sekurang-kurangnya air boleh mengalir dengan laju," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan pasukan MBI ke misi bantuan mangsa banjir di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini pada Selasa.

Rumaizi berkata, sejak November MBI telah melaksanakan penyelenggaraan mengorek sungai bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Artikel Berkaitan:

Katanya, MBI juga telah mendapatkan persetujuan dengan syarikat kontraktor untuk melakukan kerja mencuci longkang sekali sebulan berbanding tiga bulan sekali sebelum ini bermula Disember.

"Kita nak pastikan sungai dan longkang ini sentiasa bersih tanpa ada sampah tersangkut atau pasir yang menyukarkan air mengalir.

"Jika keadaan itu berlaku (sangkut sampah dan pasir), akan menjadikan kapasiti sistem tadahan hujan di Ipoh ini semakin berkurangan," katanya.