Berkumandang slogan rakyat jaga rakyat

Rakyat Malaysia menjadi wira ketika menyelamatkan mangsa banjir di Selangor.
Rakyat Malaysia menjadi wira ketika menyelamatkan mangsa banjir di Selangor.
A
A
A

MENITIS air mata Merak Jalanan apabila membaca kisah-kisah rakyat Malaysia yang menjadi wira ketika menyelamatkan mangsa banjir di Selangor.

Sesungguhnya mereka ini merupakan wira tidak didendang dan hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa serta pengorbanan mereka.

Apabila mendengar masih ramai yang tidak dapat diselamatkan di Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam kerana ketiadaan bot, puluhan pemilik bot datang dari seluruh pelosok negara untuk membantu.

Turut kelihatan ada individu menggunakan tiub lori yang dijadikan sebagai pelampung untuk membawa barang makanan kepada mereka yang terkandas di kediaman masing-masing.

Inilah kehebatan yang ditunjukkan oleh individu-individu berhati mulia ini.

Melihat keadaan tersebut, slogan rakyat jaga rakyat kembali berkumandang di media-media sosial.

Slogan ini sebenarnya dipopularkan dalam filem animasi Ejen Ali menerusi #kitajagakita.

Kemudian timbul slogan rakyat jaga rakyat apabila ramai tidak berpuas hati dengan kegagalan kerajaan dalam menangani Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ini sebenarnya menunjukkan penyatuan seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi sebarang musibah besar yang melanda negara.

Semangat kerjasama seperti inilah yang kita mahu dalam jiwa setiap rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan politik.

Semoga semangat rakyat jaga rakyat ini terus dipertahankan kerana rakyat yang menentukan masa depan negara.

Oleh yang demikian, Merak Jalanan berharap rakyat Malaysia dapat mengetepikan segala perbezaan dan berpegang teguh di bawah satu bendera sama.