Tiada cadangan turunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19

KPDNHEP tidak bercadang mengubah harga maksimum kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual secara runcit di pasaran ketika ini. - Foto Bernama
KPDNHEP tidak bercadang mengubah harga maksimum kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual secara runcit di pasaran ketika ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang mengubah harga maksimum kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual secara runcit di pasaran ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun harga maksimum kit terbabit ditetapkan RM19.90 seunit, ada peruncit yang sudah menjual pada harga lebih murah.

"Kita tidak perlu ubah (harga maksimum) itu, sekarang sudah turun banyak, ada yang menjual harga RM4 lebih sahaja (satu kit), RM4.60 ada, RM4.90 pun ada," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan harga barang di sebuah pusat beli-belah di sini pada Isnin.

Nanta berkata, penurunan harga itu disebabkan persaingan jenama-jenama kit ujian terbabit selepas kementeriannya meluluskan lebih banyak jenama kit itu memasuki pasaran negara ini.

"Kita pun tak mahu kalau kita letak satu harga (maksimum baharu), mungkin sekiranya kita letak RM10, jadi yang sudah murah mungkin boleh naik harga pula nanti," katanya.

Beliau berkata, kit ujian itu telah diisytiharkan sebagai barang kawalan mulai 1 Disember lepas sekali gus menjadi kesalahan jika stoknya disorokkan.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna membuat pilihan bijak dengan membelinya di kedai yang menjual pada harga lebih murah. - Bernama

Artikel Berkaitan: